PETANDA BERAKHIRNYA ERA KAPITALISME?

Hujung minggu lalu saya habiskan masa dengan membaca sepuas-puasnya pelbagai artikel berkaitan kemeleseten ekonomi yang melanda Wall Street yang mana krisis tersebut kini telah berpindah ke 'main street' (rakyat jalanan).

Sehebat-hebat Amerika sebagai kuasa dunia, mereka hanya dapat mengeluh melihat kehilangan lebih dari trillion dolar wang Amerika di pasaran saham mereka, dan 700 bilion dolar wang pembayar cukai kini digunakan untuk menyelamatkan krisis ekonomi mereka yang amat tenat.

Bagi memahami isu tersebut saya menekuni beberapa artikel seperti yang ditulis oleh Francis Fukuyama (The Fall of American Inc.), Fareed Zakaria (The Age of Bloomberg dan There is Silver Lining), Zachary Karabell (Awakening From the All-American Dream), Roberth Shiller (The Ownership Myth), William Underhill (Dark Days For the City of London), Jeffery E. Garten (We Need A New Road Map).

Rana Foroohaar (A New Age Of Global Capitalism Starts Now), Mohamed A. El-Erian (The Storm Cloud Spread) dan artikel-artikel yang ditulis oleh pakar Ekonomi Malaysia seperti Datuk Salleh Majid di dalam Malaysian Business (In Need of A New Financial Structure) dan artikel oleh Anna Taing di akhbar the Edge (Are We Too Optimistic about the Economy).

Secara ringkasnya pakar ekonomi merumuskan kemeleseten ekonomi yang melanda Amerika Syarikat dan juga United Kingdom secara khususnya bukan sahaja menyebabkan seluruh dunia mempersoalkan keutuhan sistem perbankan negara-negara tersebut, malahan keseluruhan sistem kapitalisme Anglo-Saxon juga kini dipersoalkan.

Di Perancis misalnya Presiden Sarkozy merancang satu forum dunia "to rethink capitalism" (memikirkan semula kapitalisme). Malahan Menteri Kewangan Italy menyatakan bahawa krisis ekonomi menunjukkan "berakhirnya Amerika sebagai kuasa besar kewangan�. Para pemimpin Kerajaan Amerika Latin seperti Hugo Chavez, Fernandez de Kirhner dan Evo Morales pula dengan nada sinis menyatakan "the U.S economic model is terminally ill" (model sistem ekomomi Amerika sedang sakit tenat).

Kemeleseten yang melanda Wall Street menandakan berakhirnya seperti mana dikatakan Francis Fukuyama era Reaganism dan Thatcherism. Kedua-dua pemimpin ini iaitu Ronald Reagan dan Margaret Thatcher yang digelar sebagai ahli politik yang mesra pasaran (market friendly politician) telah melakukan revolusi pembaharuan kewangan sejak tahun 1970-an dengan melancarkan sistem kewangan yang tidak diikat dengan peraturan (financial deregulation).

Revolusi pembaharuan kewangan inilah akhirnya diterjemahkan kepada doktrin yang dikenali sebagai "Persetujuan Washington" (Washington Consensus). Berdasarkan doktrin inilah pihak Amerika dan mana-mana institusi di bawah pengaruh dan telunjuknya seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menggesa negara-negara sedang membangun untuk membuka ekonomi mereka agar lebih mesra pasaran.

Meskipun pembukaan sistem ekonomi tersebut mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang agak agresif seperti mana yang dinikmati oleh India dan China sekarang, ia juga mendatangkan bala yang besar kepada negara-negara seperti Korea Selatan dan Thailand.

Thailand dan Korea yang mengikut model Amerika di atas nasihat dan tekanan Amerika sejak tahun 1990 mengalami kegawatan ekonomi yang teruk pada tahun 1997-98 setelah mereka membuka dan membebaskan pasaran modal mengakibatkan wang panas (hot money) mula mengalir masuk yang akhirnya mewujudkan buih-buih spekulasi (speculative bubble) sekaligus mendatangkan kegawatan ekonomi.

Krisis ekonomi kali ini memang mewujudkan satu krisis keyakinan masyarakat dunia kepada sistem kapitalisme laissez-faire dan pasaran bebas (free markets). Sebenarnya seperti mana yang dikatakan oleh editor Newsweek, Fareed Zakaria, sejarah sistem kapitalisme penuh dengan krisis kredit, panik, kecairan sistem kewangan, kemelesetan dan kegawatan ekonomi.

Fareed juga bersetuju bahawa krisis ekonomi ini membawa makna bahawa era dominasi global Amerika kini mula berakhir.

Dari perspektif Islam, kita tidak perlu merasa hairan dengan apa yang yang berlaku ini. Sejak dari awal ramai pakar ekonomi Islam yang bertaraf antarabangsa seperti Dr. Muhammad Umer Chapra, Penasihat Ekonomi Senior Agensi Kewangan Arab Saudi (yang juga ahli ekonomi yang amat saya minat dan kagum) menyatakan, baik sistem ekonomi kapitalisme atau sistem ekonomi sosialisme akan menemui ajalnya.

Sistem kapitalisme yang berasaskan fahaman sekularisme membawa manusia mengejar kepentingan diri yang tidak terhad yang diterjemahkan melalui sistem pasaran terbuka/kebebasan pasaran. Sistem yang walaupun tidak menafikan kewujudan Allah tetapi menganggap kewujudan-Nya tidak membawa sebarang signifikan kepada kehidupan manusia. Urusan dunia termasuk urusan ekonomi ditadbir berasaskan anggapan tiada lagi kehidupan selepas mati dan tiada akauntabiliti di hadapan Allah.

Pengasasnya, Adam Smith menganggap dengan memenuhi kepentingan diri akan akhirnya membawa faedah kepada kepentingan awam. Atas dasar itulah mana-mana individu patut diberikan kebebasan yang maksimum untuk memenuhi kehendak dirinya. Kapitalisme mewujudkan �manusia ekonomi� yang mana tujuan besar kehidupan manusia hanyalah penggunaan (consumption) semata-mata, sekaligus mewujudkan budaya konsumerisme. Riba juga asas utama sistem kapitalisme.

Jelas doktrin kebebasan mutlak menggunakan harta dan pendapatan berlaku dalam krisis ekonomi Amerika apabila Kerajaan Republikan memberikan ruang kebebasan yang seluas-luasnya untuk rakyat, termasuk yang tidak mampu, untuk memiliki rumah kediaman. Mereka diberikan pelbagai insentif yang menarik seperti membeli rumah tanpa wang deposit, tidak perlu membayar ansuran bulanan sehingga tempoh 24 bulan malahan boleh meminjam tanpa sebarang dokumentasi. Malahan diberitakan purata setiap isi rumah di Amerika memiliki 13 kad kredit. Hutang Negara kini meningkat dari 5.75 trilion pada tahun 2000 kepada 10.2 trilion.

Sistem ekonomi kapitalisme kini diakui gagal. Sosalisme juga sebelum ini telah gagal. Inilah peluang keemasan untuk dunia global mencari alternatif sistem ekonomi yang baru. Tidak seperti agama lain, Islam sudah terbukti mempunyai sistem ekonomi yang hebat dan mampu menjadi alternatif yang terbaik, jika diberi peluang.

Malangnya negara-negara dunia Islam gagal mengambil peluang terbaik ini. Amat malang sistem ekonomi Islam hanya diyakini hebat oleh gerakan Islam yang sehingga kini masih belum mampu menguasai kepimpinan utama negara-negara umat Islam.

Oleh : Mohd Hanifah Maidin [Harakah Daily]

Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

6 comments:

  1. Salam,

    Pada pendapat saya setiap sistem ekonomi itu, sama ada kapitalisme, sosialisme atau Islam, ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.

    Kapitalisme pernah mengalami keruntuhan beberapa kali pada masa yang lalu, tetapi kemudian bangun dan tegak kembali.

    Sistem Islam (?) pula saya rasa pernah mengalami zaman jaya dan keagungannya pada satu masa dahulu, tetapi kemudian runtuh, sebelum cuba dibangunkan kembali dalam beberapa tahun terakhir ini.

    Sama ada sistem Islam boleh menjadi alternatif kepada sistem kapitslisme yang dikatakan sedang mengalami keruntuhan, saya kira banyak bergantung kepada kuasa politik, ekonomi dan teknologi umat Islam.

    Sekiranya umat Islam merupakan umat yang maju dan mempunyai kuasa yang kuat dalam ketiga-tiga bidang tersebut, mungkin sistem ekonomi Islam boleh menjadi alternatif kepada sistem kapitalisme.

    Akan tetapi, jika tidak, saya kira sistem kapitalisme akan bangkit kembali, mungkin dengan perubahan dan penyesuaian di sana sini.

    Sistem Islam mungkin boleh terus wujud dan berkembang, berdampingan atau berada di luar sistem kapitalisme yang juga akan terus wujud dan berkembang kembali.

    ReplyDelete
  2. Sistem ekonomi KAPITALISME?
    Mungkin satu sistem yang tidak terikat dengan peraturan tertentu.
    Manusia ini sebenar nya tidak mampu berfikir sejauh mana.
    Mari kita lihat kepada satu bentuk baru ekonomi masa akan datang.
    Huraian:
    Pada asalnya ekonomi kapitalisme terbentuk hasildrp proses liberalisasi ekonomi kerana ketamatkan manusia yang tidak perdulikan kepada sistem asal.Contohnya orang yang tidak berduit boleh membeli saham yang banyak,malah terlalu banyak kerana ada kuasa (seperti politik dan pengaruh, ekonomi).
    Wang kertas sebenarnya wang dibawah nilai, kadang-kadang ianya jatuh nilai seperti wang Pokok Pisang semasa kita di bawah kuasa (tentera Jepun)
    Wang dinar,wang emas.
    Kadarannya mengikut aliran semasa tetapi berada pd paras yang sebenar atau nilai yang sebenar dengan harga semasa.Sedangkan wang kertas boleh di cetak seberapa banyak mungkin,tetapi tidak ada nilai seperti mata wang dinar.
    (emas tulin).
    Siapapun boleh buat wang jelmaan ini.Negara mana sekalipun.
    Orang ini(Yahudi) membuatkan dunia mengikut telunjuknya supaya dia boleh beli dunia ini dengan nilai wang(Mata Satu)yang juga sama nilainya ,coraknya dengan negara-negara yang lain.
    (mengikut kehendaknya).
    Kita ikut, kelubang manapun kita ikut ,dia masuk kelubang jamban, kita ikut sama.
    Bila ekonomi dia terok kita ikut huruhara.
    Dia orang jadi berok darwin ,kita ikut jadi berok sumbang.
    (Natang berok).
    Kita orang Islam mahu letak islam sama taraf dengan
    orang yahudi.
    Tuhanpun tahu dan ubah kiblatnya.
    Kita ini aleh-aleh sekongkong pulak dengannya.

    Apa dah jadi Pak Mat kwin lagi.
    kwin pula dgn mak janda beranak dua.apa dahhhhhhhh jadi.
    Baru kwin 2 hari sudah lari ikut pintu belakang...katanya Mat hutang belum bayar lagi.
    hutang,hutang
    Hendak berbini pun kena hutang...
    (Lari masuk Hutan).
    Nampak gaya Malaysia Akan berhutang dengan IMF(2009) hendak lari kemana lagi....?????????????

    ReplyDelete
  3. beginilah lah dalam al quran banyak di sentuh ayat berkaitan tentang riba...kesan dan kemusnahan riba dalam bermuamalah
    urusan jual beli.

    pasaran bebas...nama sahaja tapi pada dasarnya tersirat penguasaan antara satu golongan pd golonganyang lain. dan kaedah nya terikat mengikut perjanjian yang tidak adil.

    elemen riba di subur oleh pihak yahudi pada bukan yahudi haram bg mereka dan halal bagi yahudi mengenakan riba pada bukan yahudi

    oleh itu konsep ini telah di terap oleh pemikir pemikir mereka zaman berzaman..tak heran warisan kapitalism ada lah teras yang di beri oleh pemikir pemikir mereka.

    tipu daya mereka hebat asas capitalism menghalal kaedah spekulatif ...spekulatif bersifat uncertainties atau gharar dari fiqh yang menjurus kpa haram..tapi bagi mereka ketidakpastian adalah satu cara dalam perniagaan makna mereka boleh mengspekulasi dalam penawaran..barangan ..dan di kuatkuasa dalam klausa klausa perjanjian..contoh pasaran hadapan..contoh minyak...boleh di andaikan harga konon nya berasas kan penawaran dan permintaan hadapan ...so yang tidak menguasai terjunam lah. spekulasi lebih kurang sama dengan perjudian ...di mana isu fundamental telah di jangka jangkakan ...ibarat perniagaan telah di samakan dengan satu bentuk perjudian. dan riba ....mengambil untung berlipat ganda....sudah pasti akan mengikat organisasi , individu , atau negara dalam satu keadaan tertekan dan perlu patuh kpd yang memberi hutang...apa pun sistem ciptaan manusia yang tidak berlandaskan fiqh muamalah pasti akan menjerumus kan ekonomi...termasuk yang mempeloporkan nya.

    gharar, maisir , riba adalah intipati sistem kapitalism...apa pun keadaan takkan dapat memberi kesejahteraan dalam kehidupan yang berkait rapat ekonomi jual beli


    ingat semua institusi ekonomi, bank di kuasai mereka..dan bijak pandai mereka berada di amerika dan europe dalm mencatur penguasaan dunia..apa pun kita perlu berdepan dengan perkara ini dengan ilmu dan perlu kita sendiri tegak sistem kewangan dan takaful dalam hal berkaitan perniagaan..iran mengambil langkah bijak untuk tidak mengguna dollar us dalam urusan jual beli...kerana apa..iran faham macam mana manipulasi us dalam kewangan yg boleh menjuruskan mereka. nilai kapitalism bebas ikut acuan mereka..interest di sesuaikan dengan kehendak mereka. wang di cetak berleluasa tanpa asas kukuh.

    kaedah ketidakpastian di hidupkan untuk mengikat orang ramai..contoh credit card telah di ghararkan konsep keperluan dalam berbelanja.. kad kredit di imejkan sebagai satu gaya hidup...spend ...and use card for your conveniences..oleh itu sesiapa pegang kad pasti takkan dapat bebaskan diri...minimum repayment apa maksudnya...orang tersebut akan jadi hamba berhutang...kerana keperluan kewangan mereka hanyalah gaya hidup berbelanja.. dan ingat riba hukum nya haram yang memberi dan menerima sama sahaja saham mereka.

    so bg kredit kad holder rujuk rujuk lah

    salam
    salam

    ReplyDelete
  4. Salam Aflah,

    Saya sentiasa yakin dengan pelaksanaan ekonomi cara Islam cuma kekadang terkilan juga apabila rakan cuba memohon pinjaman di Bank Islam tetapi gagal bukan sekali submit banyak kali juga..mungkin Aflah boleh buat satu topik tentang 'kehebatan BANK ISLAM' yang wujud sekian lama di Malaysia. Katanya menganjurkan konsep TA'AWWUN tetapi hampeh!!!

    p/s: kepada pihak pengurusan Bank Islam, kalau tak percaya kat orang tak payah la nak tawarkan skim atau pakej berkenaan. Buang masa jer!!!!

    thx!

    thx!

    ReplyDelete
  5. Aflah, entri ini adalah petikan dari Harakah. Retorik lagi tu. Pernahkah Harakah menyokong idea Dinar Islam seperti yang diideakan oleh Tun Mahathir?? Orang PAS membenci Mahathir, tanpa menyedari Tun Mahathir lebih arif dari mereka didalam membawa idea ekonomi Islam. Idea dari PAS yang pernah saya dengar cuma pajak gadai Islam.

    Kalau asik nak masuk pajak gadai, bila nak maju.

    Walaupun begitu saya setuju bahawa Kapitalisma telah hancur. Untuk mereka bangun kembali akan memakan masa yang panjang.

    Bagi Malaysia pula, sekiranya Tun Mahathir tidak menyelamatkan ekonomi Malaysia pada tahun 1997-988, mungkin kita juga dah hancur bersama mereka.

    ReplyDelete
  6. Oh, ya tak ya. Apabila matawang dijadikan komoditi, itu adalah permulaan kehancuran ekonomi.

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.