Tuah kontrak baru Cautinho
Philippe Coutinho (gambar) masih belum pulih daripada luka akibat diketepikan daripada skuad Piala Dunia Brazil, sebaik musim Liga Perdana Inggeris bermula Ogos lalu.
Dipinggirkan Luiz Felipe Scolari untuk skuad yang turut dibarisi pemain seperti Fred, Bernard dan Jo, sudah tentu membuat dia makin terluka.
“Saya akan menggunakan kemarahan ini untuk mendorong saya ke tahap tertinggi,” kata pemain tengah kreatif kelahiran Rio itu.
Mujur sekali usaha itu memberi kelebihan buat Liverpool, yang kesannya mula dirasai minggu demi minggu.
Untuk bersikap adil buat Scolari dan skuad Brazil, perbincangan sama ada produk Vasco da Gama ini mempunyai tarikan tersendiri jarang diperbincangkan sehinggalah beberapa bulan lalu.
Brendan Rodgers sudah sekian lama memuji potensi pemain berusia 22 tahun itu sebagai pemain bertaraf dunia meskipun menegur aspek jaringan gol pemain itu yang perlu diperbaiki.
Jaringan Coutinho yang cantik ke atas Manchester City Ahad lalu menunjukkan dia sudah menerima nasihat itu.
Pengurus Liverpool itu berkata kejayaan mendapatkan kontrak baru, menjadi faktor peningkatan produktiviti Coutinho berikutan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan.
Keputusan itu sesuatu yang menakjubkan tetapi menjadi lebih bermakna selepas skuad itu pulang dari Istanbul, Jumaat lalu.
Statistik menyokong teori itu. Dalam 31 perlawanan sebelum menandatangani kontrak baru selama lima tahun pada bulan lalu, penyarung jersi No 10 itu menjaringkan dua gol musim ini. Sejak itu, dia menjaringkan tiga gol dalam tujuh perlawanan.
“Phil mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya, tetapi kami mahu memberi ganjaran terhadap apa yang dilakukannya,” kata Rogders.
“Pasti ada kesan psikologi apabila dia berasakan inilah tempatnya dia akan menghabiskan bahagian terbaik dalam kariernya.
“Dia mahu berada di sini. Ia mampu memberi kesan menyenangkan, tetapi sebelum dia menandatangani kontrak, kami bercakap mengenai apa yang perlu dilakukannya untuk pergi ke tahap berikutnya dan lebih kerap menjaringkan gol.
“Jika dia boleh menjaringkan gol secara konsisten dia akan berada di puncak sebagai pemain bertaraf dunia.”
Bagaimanapun, latihan untuk memastikan ketepatan di depan gol perlu diberi perhatian meskipun sudah mendapat kontrak baru.
Rodgers menggalakkan Coutinho untuk menjaringkan lebih banyak gol musim ini. Masalahnya, pengurus berkenaan mengakui kejayaan ke atas City adalah hasil naluri pemain Brazil itu untuk mencipta gol dan bukannya menerusi penyudah tepat yang mampu memperdayakan Joe Hart.
“Dia seorang pemain yang sentiasa memberi bantuan dan membuat hantaran terakhir,” kata pengurus Liverpool itu. “Dia seorang pemain yang tidak pernah mementingkan diri dan seorang anak muda yang merendah diri dan sentiasa mencipta peluang untuk yang lain.
“Kami menggalakkannya menjaringkan gol lebih kerap. Pergerakannya di kawasan penalti begitu hebat, tidak perlukan banyak sentuhan untuk menjaringkan gol seperti yang anda lihat menerusi jaringan hebatnya menewaskan Hart.
“Tekniknya berada di tahap tinggi dan dia akan menjaringkan lebih banyak gol. Kini dia kerap berada di kawasan yang betul. Dia mula mendapatkan rentak kejayaan itu dan ia menggalakkannya untuk menjaringkan lebih banyak gol.”
Coutinho menggambarkan transformasi yang dialami Liverpool musim ini. Pemain berharga £8.5 juta (RM47.4 juta) dari Internazionale, antara yang paling teruk menerima kesan akibat rombakan terhadap pasukan Rodgers pada empat bulan pertama kempen ini.
Tanpa Luiz Suarez dan kecederaan Daniel Sturridge, selain Raheem Sterling yang hanya beralih ke posisi penyerang pada November, Coutinho terpaksa memegang bola lebih lama dan lebih kerap hilang bola.
Kini, dia mempunyai banyak pilihan dan ia tentu sekali meningkatkan prestasi dan keputusan Liverpool, sekali gus menunjukkan kepentingan pemain Brazil itu hinggakan Rodgers merehatkannya untuk perlawanan timbal balik menentang Besiktas dalam Liga Europa untuk mencerahkan peluang berada di empat tangga teratas menentang City.
Label pemain bertaraf dunia masih jauh kelihatan namun hantaran Coutinho menyebabkan gol penyamaan terhadap City, tetapi dia mempunyai kemampuan untuk mengesannya selain menampilkan kesungguhannya.
Kontrak barunya tidak berdepan banyak masalah, jika dibandingkan dengan usaha berterusan untuk mendapatkan kontrak baru Sterling dan Jordan Henderson. Mudahnya menyelesaikan isu kontrak Coutinho menandakan betapa pemain itu berpuas hati di Anfield.
“Saya tidak mahu meletakkan nilai terhadapnya,” kata Rodgers, yang percaya peningkatan Coutinho akan diukur bukan saja menerusi jaringan semata-mata, tetapi juga kemampuannya untuk dibandingkan dengan dua pemain Real Madrid, Luka Modric dan Toni Kroos.
“Dia memberi bayangan bagaimana kami harus bermain. Jika anda melihat video dia bermain futsal ketika berusia 11 atau 12 tahun di Brazil, dia bermain dengan gaya yang sama kecuali dia sudah semakin dewasa.
“Kami sedar dia mempunyai kelebihan, kami hanya perlu percayakan kebolehan yang dimilikinya dan biarkan ia berkembang. Dia berusaha keras mendapatkan bola, tetapi dia juga sungguh efisyen dan efektif. Bermain di Liverpool, dengan apa yang kami inginkan, sempurna untuknya.”
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.