RAKYAT MALAYSIA MAKIN SUKA MEMBACA


STATISTIK Perpustakaan Negara yang menyifatkan budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia semakin menurun tidak mempamerkan fenomena sebenar tabiat membaca di negara ini kerana kajian berkenaan dibuat secara umum dengan membabitkan sama orang kurang upaya (OKU), bayi dan orang asli.

Pengerusi Kumpulan PTS, Ainon Mohd, yakin bahawa dapatan yang menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buku setahun adalah tidak benar memandangkan industri penerbitan buku terus mencatat keuntungan dan situasi terbabit membuktikan bahawa masyarakat negara ini membaca hakikatnya.

“Malah mengikut kajian yang dilaksanakan, buku dalam bahasa Melayu mendapat permintaan tinggi sebagai bahan bacaan utama berbanding 10 tahun lalu sehingga rangkaian kedai buku besar seperti Popular dan MPH turut memberi ruang pameran bagi menjual buku dalam kelompok ini,” katanya pada Diskusi Perkembangan Buku Melayu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan perkembangan positif itu sebagai petanda baik bagi industri buku Melayu dan yakin kemelesetan ekonomi negara tidak menjejaskan semangat penulis tempatan untuk menghasilkan bahan bacaan bermutu dalam bahasa rasmi negara ini, walaupun hakikatnya senario terbabit mengundang kesan buruk terhadap segmen bukan Melayu.

“Sekiranya 10 tahun lalu, buku Melayu hanya terletak di ruang kecil kerana sambutan pembaca kurang, tetapi kini buku Melayu boleh dikatakan menguasai pasaran buku tempatan selepas buku Cina yang sebahagian besar diimport dari negara luar,” katanya ketika ditemui selepas sesi wacana.

Penulis sepenuh masa, Ain Maisarah, yang popular dengan novel remaja, Aku Mahu Popular, menyifatkan perkembangan terkini industri buku tempatan sebagai suatu revolusi dan membuktikan bahawa tabiat membaca masyarakat Melayu tidak seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak.

“Perkembangan itu bukan saja memberi kebaikan pasaran buku, malahan ia juga dapat menggalakkan bakat baru tempatan menceburi penulisan sebagai kerjaya tetap yang sebelum ini dianggap berisiko, walhal ia mampu memberi jaminan masa depan,” ujarnya.

Beliau mendakwa pengalamannya bergelar penulis sepenuh masa dengan penghasilan sembilan buku dalam tempoh 2 tahun, membuktikan pekerjaan itu mampu menjamin hidup seseorang, sekiranya ia disertai dengan azam yang kuat serta dilakukan secara berterusan.

“Malangnya persepsi negatif masyarakat terhadap individu yang bergelar penulis menyebabkan generasi muda takut menceburi bidang ini sehinggakan pelajar yang mengambil jurusan penulisan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) semakin berkurangan,” jelasnya.

Selain itu, Ain menganggap dakwaan terbabit dibuat tanpa kajian terperinci kerana fakta membuktikan bahawa ramai penulis bermula dari bawah, mampu mencipta nama dalam bidang penulisan sehingga melahirkan ramai seniman dan sasterawan.

“Saya percaya industri buku dapat membuka peluang kepada penulis muda mengetengahkan bakat dengan menghasilkan karya berkualiti sekali gus membantu usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat lebih tinggi di negara ini” ujarnya.

Ain turut yakin bahawa jika industri buku dalam bahasa Melayu terus mampu memperkukuhkan cengkaman mereka, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara akan dapat dijulang tinggi, walaupun isu bahasa kini hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

“Pelbagai cara dilakukan bagi menyelamatkan bahasa Melayu dan saya pasti bidang penulisan antara sektor yang turut dapat menyumbangkan secara tidak langsung kepada usaha menyelamatkan bahasa rasmi negara ini daripada terpinggir,” katanya pada diskusi terbabit.

Sumber asal: Berita Harian

Photobucket

TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.