SELEPAS ANWAR, SIAPA?

Wajah kepimpinan UMNO bakal berubah tidak lama lagi. Proses peralihan kuasa akan dimuktamadkan dan barisan kepimpinan barunya akan mula diuji untuk PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Rakyat Malaysia tentunya sedang berdebar menantikan keputusan PRK itu dan tertanya-tanya, apakah pilihan pengundi kali ini?

Jika keputusan PRK itu nanti memihak pada UMNO dan BN, ianya pasti memberikan semangat baru kepada penyokong UMNO dan BN. Namun jika UMNO dan BN kalah, drama peralihan kuasa dalam UMNO tidak akan berakhir begitu sahaja. Kalau sebelum ini Pak Lah sering dijadikan kambing hitam, siapa pula yang akan dijadikan kambing hitam nanti?

Najib seakan mengulangi sejarah Allahyarham bapanya. Jika dulu Tun Razak bergelut dengan peristiwa 13 Mei, kini giliran anaknya pula bergelut dengan peristiwa 8 Mac. Adakah Najib mampu mengulangi kejayaan Tun Razak? Persoalan ini nampaknya masih sukar untuk dijawab buat masa sekarang.

Masalah utama yang dihadapi oleh UMNO dan BN kini adalah masalah persepsi. Jika Najib berjaya menukar persepsi buruk yang sedang dihadapinya kini menjadi seperti fitnah semata, berkemungkinan besar UMNO dan BN akan kembali menemui rentak kejayaannya semula. Untuk menukar persepsi buruk itu, Najib tentunya sudah memiliki ramuan tertentu untuk menjayakan agenda itu.

Kebanyakan penganalisis politik berpendapat, kejayaan PR dalam PRU ke 12 adalah disebabkan oleh kelemahan UMNO/BN dan bukannya kerana kekuatan yang dimiliki oleh PR. Buat masa ini, PR kelihatan kuat kerana ianya dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Kemampuan Anwar menyatukan PAS dan DAP adalah faktor utama yang menyebabkan PR kelihatan sebuah parti yang setanding dengan BN.

Untuk melemahkan PR, Najib akan memfokuskan segala strateginya untuk menumbangkan Anwar. Jika Anwar berjaya ditumbangkan, PR akan menjadi seperti kapal yang tidak mempunyai nakhoda. Bila kes liwat Anwar berjaya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, strategi itu nampaknya sedang diusahakan. Sekiranya Anwar didapati bersalah, siapakah yang akan mengepalai PR?

Sejak dulu lagi, PAS dan DAP tidak pernah sebulu dalam beberapa perkara seperti konsep negara Islam, perlaksanaan hudud dan gagasan Malaysia Malaysian. Isu ini sudah berlarutan sejak puluhan tahun dan sehingga kini, kedua belah pihak masih gagal mendapat kata sepakat. Jika Anwar ke penjara dan PAS serta DAP pula masih gagal berpakat dalam isu-isu di atas, maka tidak mustahil kelemahan UMNO/BN akan ditutup oleh kelemahan PAS dan DAP.

Sejak PRU ke 12 berlalu, UMNO sudah mengubah barisan kepimpinannya. Pak Lah dan Khairy yang sebelum ini dianggap sebagai duri dalam daging UMNO/BN sedang menunggu waktu untuk disingkirkan. Manakala, DAP masih mengekalkan Karpal Singh yang selama ini menjadi duri dalam daging kepada hubungan DAP dan PAS.

Lebih parah lagi, PR masih lagi belum dapat ditubuhkan secara rasmi seperti BN. Struktur kepimpinan PR masih samar dan siapa yang lebih layak mengetuai PR selepas Anwar masih menjadi persoalan yang belum terjawab. Jika PAS dipilih sebagai ketua PR, dapatkah penyokong DAP menerimanya dan jika DAP dipilih menjadi ketua, bolehkah penyokong PAS menerimanya?

Setelah setahun PRU ke 12 berlalu, kedudukan PR nampaknya bertambah lemah dan bukannya bertambah kuat. Krisis di Perak membuktikan betapa rapuhnya PR sehingga mudah ‘dibeli’ oleh BN. Jika PR semakin kuat, Perak seharusnya kekal di tangan PR dan Negeri Sembilan sudah seharusnya dimiliki oleh PR. Namun itu tidak berlaku. Kenapa dan di mana silapnya?

Bersambung…


Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Salam Aflah...,

    memang agak sukar mencari pengganti yang berkarisma seperti DSAI...walaupun diaib, ditekan, diancam dan dimalukan dengan pelbagai kaedah namun masih tegak berdiri tanpa tergugat penghormatan oleh kebanyakan pengikut dan pemnyokong setianya....

    Bagi saya, beliau merupakan ikon politik yang unggul walaupun ramai yang cuba menjatuhkannya...tak mustahil...ya...tak mustahil beliau akan menjadi seperti Nelson Mandela yang akhirnya tetap ditakdirkan menjadi pemimpin di sebuah negara yang mengganggap bangsa sekulit dengannya sebagai orang asing...dan terus merubah situasi tegar tersebut selepas beliau naik sebagai presiden negaranya....

    Siapapun boleh menjadi galang-ganti bagi DSAI cuma apakah penggantinya mampu mencorakkan mencorakkan dunia politik sehebat dirinya???

    thx!

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.