RESPON PERTAMA PAK LAH SELEPAS KALAH


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tewas kepada PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam tidak bermakna Umno dan Barisan Nasional (BN) akan mengabaikan penduduk di kawasan itu.

"Bagi BN dan Umno, kita akan terus memberi khidmat kepada rakyat di kawasan itu khususnya kerana kita menganggap keputusan ini bukanlah suatu keputusan yang kerananya kita lupakan kawasan berkenaan," kata pengerusi BN dan presiden Umno itu.

Pada pilihan raya itu, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Perdana Menteri mengulas mengenai keputusan itu sejurus tiba di sini pada Ahad untuk memulakan lawatan rasmi ke Bahrain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selama enam hari.

BN menerima keputusan pilihan raya itu dan mengucapkan tahniah kepada calon PAS, kata beliau.

Menurut perdana menteri, Wan Ahmad Farid telah memaklumkan kepada beliau berhubung hasratnya untuk terus memberikan khidmat di kawasan itu.

"Walaupun tidak dipilih untuk menjadi anggota Parlimen, tetapi dia tetap akan berkhidmat dan apa juga bantuan yang diperlukan oleh rakyat, beliau akan berusaha untuk membantu apakah yang menjadi kebimbangan rakyat," kata Abdullah sambil menjelaskan penduduk tempatan boleh terus memanfaatkan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Bila saya dengar berita (tentang kekalahan) itu, memanglah rasa sedih juga. Tapi yang pentingya ialah parti BN dan Umno menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Itu adalah kehendak rakyat."

Menurutnya, laporan post-mortem akan disiapkan secepat mungkin untuk mengetahui apa yang menjurus kepada kekalahan BN itu.

"Biarlah laporan mengenainya dibuat secepat mungkin supaya kita tahu apa yang sebenarnya berlaku dan dengan itu dapat kita mengambil tindakan segera supaya apa yang menjadi masalah, apa yang tidak disenangi oleh rakyat berkaitan dengan parti kita atau apa-apa sebab lain, dapat diberi perhatian dan diatasi secepat mungkin," kata Abdullah.

Di samping itu, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan parlimen Kuala Terengganu yang memilih calon BN.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, pekerja daripada Umno Terengganu dan Perhubungan Umno negeri lain serta Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Umno pusat yang menyumbangkan dalam usaha meraih sokongan bagi calon BN.

Abdullah berkata pilihan raya itu berlangsung dengan baik, teratur dan demokratik selain tidak tercemar dengan apa-apa perkara yang boleh merosakkan perjalanan sesuatu pilihan raya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana dapat mengawal situasi dan mengelakkan berlaku apa-apa yang tidak diingini," tambah beliau sambil menyampaikan ucapan yang sama kepada pimpinan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang baru.

Sumber: Bernama


Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Salam,

    Sepatutnya PAK LAH memecat NAJIB atas kegagalannya dalam tugasan penting kali ini. Ini jelas menunjukkan rakyat masih belum menerima NAJIB sebagai pengganti PAK LAH. Seorang PRESIDEN UMNO belum tentu layak menjadi PM, ia hanya tradisi lapuk yang tak perlu diteruskan kerana ia membuktikan UMNO ialah sebuah parti milik golongan BANGSAWAN dan mengamalkan sistem MONARKI dalam kepimpinannya....

    PAK LAH PECAT NAJIB !!!
    PAK LAH PECAT NAJIB !!!
    PAK LAH PECAT NAJIB !!!

    THX!

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.