ANGKASAWAN NAFI TENTUKAN BAYARAN?


Setelah didedahkan Harakahdaily, Angkasawan pertama negara, Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menafikan dakwaan beliau mengenakan bayaran sejumlah RM8,000.00 untuk satu jam berceramah sambil menyifatkan ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan imejnya.

Namun kenyataannya itu tidak dapat meleraikan pelbagai respon orang ramai termasuk beberapa sumber yang mendedahkan sikap tidak profesional angkasawan terbabit yang 'meraih keuntungan' hasil dari perbelanjaan wang negara dan rakyat jelata menghantar beliau ke misi angkasa lepas 10 Oktober tahun lalu.

Mengulas isu terbabit, Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata angkasawan tersebut tidak wajar mengenakan bayaran tinggi tambahan beliau masih lagi berkhidmat sebagai seorang pegawai kerajaan yang dilarang sama sekali mengaut keuntungan atas kapasiti jawatannya itu.

Malah kata Hatta, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sewajarnya menampung segala perbelanjaan angkasawan itu demi berkongsi pengalaman berharga dan tiada nilainya kepada rakyat jelata khususnya generasi muda.

"Mosti mesti bertanggungjawab membiayai semua perbelanjaan beliau untuk memenuhi jemputan dan bukannya menetapkan harga tertentu yang akan mengakibatkan ianya menghadkan jemputan orang ramai kerana sukar memenuhi bayarannya yang tinggi.

"Kita tidak mahu menuduh sama ada wujud dalang lain dalam Mosti yang mengatur atau menetapkan harga. Tapi yang pasti Mosti kena beri penjelasan dan siasat perkara ini kerana jika tidak dibendung, saya khuatir wabak mencari keuntungan atas khidmat kerajaan akan berleluasa dan ramai pegawai kerajaan yang akan mengikut jejak langkah itu,"tegasnya.

Sambil tidak menafikan peranan Sheikh Muszaphar menyampaikan mesej yang baik pada rakyat di samping menyuntik semangat kepada golongan muda dan pelajar, Hatta tidak mahu angkasawan tersebut mengenakan sebarang bayaran yang akan menjejaskan nama baiknya sebagai tokoh yang dihormati termasuk imej Mosti itu sendiri.

Sebelum ini menurut satu sumber bagi ceramah yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah, Sheikh Muszaphar tidak mengenakan sebarang bayaran sebaliknya meminta pihak sekolah membeli atau 'mewajibkan' para pelajar membeli buku yang bertajuk 'Reaching For The Stars' sekurang-kurangnya 300 buah yang setiap satunya berharga RM20.00, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000.00

Sementara itu Harakahdaily turut dihujani puluhan email yang secara purata kesal dengan tindakan angkasawan itu malah ada antaranya yang terpaksa membatalkan jemputan kerana harga bayaran yang dikenakan.

"Kami (juga agensi kerajaan) juga ingin menjemput beliau untuk berkongsi pengalaman dalam satu slot 'person that inspires' untuk diplomatic training course telah dimaklumkan oleh pengurus beliau bayaran yang dikenakan adalah RM3000.00 untuk satu jam.Akhirnya pihak pengurusan mengambil keputusan untuk membatalkan. Saya sokong pendedahan selanjutnya," kata seorang pembaca dikenali sebagai noba6076.

Menurut email daripada Malek Sepang juga mengakui mendapat maklumat angkasawan mengenakan bayaran kepada penganjur dalam lingkungan RM5,000 namun merahsiakan pendedahan terperincinya malah kesal angkasawan negara membuat untung di atas duit titik peluh rakyat yang kepingin melihat dan mengenal ruang angkasa Allah SWT.

"Beliau adalah duta kecil negara dan utusan Mosti yang mesti memberi peranan yang baik demi membawa manfaat serta kebaikan kepada negara bukannya mencari kekayaan atau pendapatan sampingan sebagai pegawai kerajaan" kata Dr Hatta yang juga merupakan ahli parlimen Kuala Krai.

Sumber : Harakah Daily

Dah tahu tentang peraduan mudah ini? Jika belum, KLIK KAT SINI DULU!

Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Agaknya berapa akan dikenakan kalau jemput Dr Faiz?


    Kalau jemput Dr Faiz, boleh adakan penerangan tentang angkasalepas sambil buat kempen kebersihan gigi.

    2 dalam 1

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.