PILIHAN ANWAR: DIAM ATAU ISA?


Ramai yang mula berspekulasi bila PM bertukar ke portfolio Kementerian Pertahanan. Ada yang beranggapan, tujuan pertukaran ini dilakukan bukan sahaja disebabkan oleh peralihan kuasa 2010 tetapi juga berkaitan dengan Pelan 916 Anwar Ibrahim.

Anwar kini dianggap sebagai ancaman kepada negara. Tanpa berselindung lagi, PM menyifatkan Anwar sebagai ancaman kepada kestabilan politik dan ekonomi negara. Malah, dakwaan Anwar mengenai peralihan kuasa bakal berlaku dalam masa terdekat adalah pembohongan terbaru yang dibuat olehnya.

PM bagaimanapun tidak mahu menjelaskan tindakan yang akan diambil ke atas Anwar. Malaysiakini pula melaporkan, ini (ancaman Anwar) sudah cukup untuk memberi alasan kepada pihak berkuasa untuk menggunakan ISA terhadap Anwar dan membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.

-------------------------------------------------------------------------------------
Pada saya, keberangkalian Anwar akan dikenakan tindakan ISA amat besar sekali. Keyakinan ini timbul bila Pak Lah secara jelas menyebut Anwar kini menjadi ancaman kepada ‘keselamatan’ negara. Sebagaimana yang kita tahu, Akta ISA adalah akta yang digubal khusus untuk memastikan keselamatan negara dan akta ini telah digunakan sejak sekian lama oleh kerajaan.

Soal akta ini zalim atau tidak berhati perut bukanlah isu bagi kerajaan. PM sendiri secara jelas menyebut yang akta ini ‘baik’ ketika beliau mengulas perletakan jawatan Zaid Ibrahim kelmarin. Apa yang menjadi keutamaan kepada beliau sekarang adalah untuk memastikan kerajaan BN terus berkuasa dan peralihan kuasa 2010 antara beliau dengan Najib dapat berjalan seperti yang dirancangkannya.

Perkembangan ini tentunya memberikan tamparan hebat kepada Anwar. Mahu atau tidak mahu, Anwar terpaksa berhadapan cabaran ini dan berjumpa dengan Agong secepat mungkin jika benar beliau telah mempunyai kuota untuk membentuk kerajaan baru. Ternyata PM tidak mahu berjumpa dengan Anwar kerana isi kandungan surat Anwar bukannya berkaitan tentang peralihan kuasa. Anwar tidak boleh lagi terus bermain dengan masa kerana tindakan itu hanya akan merugikannya.

Kelmarin, Tian Chua telah menyatakan yang PKR hanya memberi tempoh 48 jam untuk PM berbincang tentang peralihan kuasa. Kenyataan itu hanya datang dari Tian Chua dan bukannya datang dari pemimpin tertinggi PKR atau Pakatan Rakyat. Jelas, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat seperti PAS dan DAP belum membuat apa-apa pengumuman rasmi mengenai peralihan kuasa yang disebut oleh Anwar. Ertinya, mereka sendiri tidak pasti dengan ‘kebenaran’ dakwaan Anwar.

Ramai pemerhati politik yang menyifatkan tindakan Anwar mengumumkan pelan 16 Septembernya sebagai propaganda untuk menarik sokongan ahli parlimen BN semata-mata. Sehingga hari ini, bayang ahli parlimen yang mahu melompat itu masih lagi samar dan sejak dulu, hanya SAPP sahaja yang beria-ia mahu melompat. Jumlah ahli parlimen SAPP hanya 2 orang sahaja dan itu tidak membawa apa-apa makna kepada majoriti mudah yang diperolehi BN. Malah, ada juga yang berpendapat, berkemungkinan besar ahli Parlimen BN yang mahu melompat itu telah kembali semula ke pangkuan BN kerana mereka merasakan, jangka hayat Pak Lah sebagai PM sudah tidak berapa lama lagi.

Najib tentunya akan memberi corak baru pemerintahan BN dan tidak mustahil yang Najib akan mendapatkan khidmat Tun Mahathir untuk merangka kembali strategi mengukuhkan BN. Untuk mengukuhkan kembali kedudukan BN sebagai kerajaan di negara ini, cara yang paling mudah sekali adalah dengan menyimpan Anwar di dalam kandang ISA. Ternyata selama ini yang Anwar adalah ‘mastermind’ yang menyatukan PAS dan DAP. Tanpa Anwar, berkemungkinan besar PAS dan DAP akan bersengketa semula kerana penubuhan Pakatan Rakyat belum lagi diwartakan sebagai pertubuhan yang sah.

Perpecahan Pakatan Rakyat akan memudahkan lagi tugas berat yang sedang dipikul oleh BN. Tidak mustahil PAS akan bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri jika Pakatan Rakyat berpecah. Bagaimanapun, keberangkalian PAS akan bergabung dengan BN amat kecil sekali. Mungkin Pakatan Rakyat akan terus bergabung sehingga PRU ke 13 jika ditakdirkan Anwar ditahan di bawah ISA.

Kesimpulannya, tsunami politik yang berlaku sekarang akan mengambil masa yang panjang lagi untuk ia benar-benar reda dan kembali stabil. Yang pasti kini, Allah SWT tentunya sedang memerhatikan segala tindak-tanduk pemimpin dan rakyat di negara ini. Gunakanlah kesempatan Ramadhan ini untuk memohon kepadaNya agar negara ini akan terus aman dan sejahtera di bawah lindunganNya.
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

4 comments:

  1. Salam...

    Cube awak bace nih, mungkin antara ulasan yang terbaik setakat ini yg saya terjumpe setelah berlegar2 d alam maya nan fana ini...

    http://kuchalana.blogspot.com/2008/09/161-or-162-or-163-or-164.html

    ReplyDelete
  2. http://kuchalana.blogspot.com/

    tengok posting tajuk 16+1, 16+2, 16+3 ....tuh.

    ReplyDelete
  3. Ingat pesanan Ustaz Fadzil - Perangi khurafat kedua Umno!

    Al-marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah mengajak rakyat memerangi khurafat yang dibawa Umno di kalangan orang Melayu, iaitu dengan mendakwa hanya Umno boleh memerintah.
    Iklan


    Al-marhum dendiri yang menamakan dakwaan itu sebagai khurafat, iaitu amalan atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam. Khurafat besar itu berakar umbi dalam kefahaman orang Melayu sejak sekian lama.

    Hasil penerangan bersungguh-sungguh dan penuh istiqamah pejuang PAS, khurafat itu makin hari makin terhakis. Hari ini sekurang-kurangnya enam buah negeri di Semenanjung pernah menolak fahaman khurafat tersebut.

    Setelah terbukti di depan mata bahawa Umno boleh untuk tidak jadi pemerintah, maka fahaman songsang itu tidak lagi dijaja di kalangan orang Melayu.

    Namun tidak bermakna usaha menyambung hayat kuasa melalui fahaman khurafat yang diterapkan di kalangan orang Melayu dihentikan.

    Mereka menukar pula fahaman yang ditolak tadi kepada kenyataan baru iaitu kuasa Melayu-Islam terhakis jika Umno hilang kuasa.

    Selepas pilihan raya umum ke-12 Umno mencanangkan Melayu hilang kuasa di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Nasib Melayu dan Islam akan terancam.

    Negara dikejutkan dengan kenyataan seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang, Ahmad Ismail yang mendakwa masyarakat Cina hanyalah penumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan Bumiputera. Ucapan itu dibuat dalam siri kempen BN di Permatang Pauh.

    Setelah disergah parti komponen BN dari kalangan Cina, Umno jadi gelabah dan Timbalan Presidennya, Najib Tun Razak sepantas kilat menuntut maaf kepada masyarakat Cina atas perlakuan yang bukan dilakukannya.

    Ahmad lalu menjelaskan bahawa apa yang disampaikan beliau adalah pernyataan di zaman British. Beliau hanya menyampaikan fakta sejarah, bukan berniat mahu memusuhi orang Cina.

    Soalnya mengapa kuliah sejarah itu diadakan sewatu berlangsung pilihanraya kecil Permatang Pauh, di hadapan pengundi Melayu?

    Bukankah kerana mahu memberitahu orang Melayu bahawa ketuanan serta hak istimewa mereka akan hilang jika mengangkat manusia bernama Anwar Ibrahim menjadi pemimpin lantaran beliau bersekongkol dengan DAP yang kononnya mahu mensaksamakan hak-hak rakyat jelata negara ini berasaskan Malaysian Malaysia?

    Alangkah lebih baik jika Ahmad menjelaskan begitu dari berputar-belit ke hulu ke hilir menyalahkan wartawan kononnya menyalahtafsirkan kenyataannya.

    Isu besar yang diprojekkan ke benak pemikiran orang Melayu pasca-pilihanraya umum ke-12 ialah Melayu kehilangan kuasa politik, sekurang-kurangnya di tiga negeri, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

    Kehilangan kuasa Melayu, ditakrifkan Umno sebagai keadaan di mana Umno tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

    PAS dan Melayu KeADILan tidak sempurna Melayunya. Umno sahaja barangkali yang lebih Melayu dari orang Melayu. Isu yang dibawa Umno selepas mereka hilang kuasa ialah isu berasaskan asobiyyah kaum.

    Sejak Umno hilang kuasa di lima negeri, isu-isu yang mereka ketengahkan sentiasa berbaur perkauman. Isu kandang khinzir, pemberian tanah kepada masyarakat bukan Melayu, pelajar bukan Melayu di UiTM, pemberian projek tidak berasaskan kronisme DEB adalah antara yang dimainkan Umno.

    Persoalan besarnya ialah mengapa isu 'memperjuangkan' Melayu hanya bergegar selepas Umnohilang kuasa. Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, masih terdapat orang Melayu yang merempat di pinggir bandaraya.

    Ahmad Ismail pun tentu menyaksikan sendiri satu demi satu tanah milik Melayu Pulau Pinang tergadai kepada orang lain. Tanah orang Melayu yang menguasai Balik Pulau 30 tahun dulu, sekarang apa dah jadi?

    Isu Melayu Pulau Pinang sudah jelak untuk diperkatakan. Semakin diulas semakin menyakitkan hati.

    Sepanjang separuh abad Umno-BN berkuasa di negeri itu, tidak ada satu hari di mana ekuiti orang Melayu bertambah dari sebelumnya (berbanding bukan Melayu) melainkan terus berkurang dan berkurang.

    Umno ternyata gagal membangunkan Melayu sewaktu berkuasa. Mengapa sekarang, waktu hilang kuasa, baru terhegeh-hegeh nak perjuang hak Melayu yang terhakis?

    Semua tahu Pulau Pinang adalah negeri yang didominasi Gerakan. Penasihat Gerakan Tun Dr Lim Kheng Yaik sewaktu bersama Umno pun menyampah dengan gelagat parti itu. "Kami menghadapi Umno yang paling bongkak sekali ekoran keputusan pilihanraya 2004.

    Penyalahgunaan kuasa, rasuah, tender secara perundingan yang kebanyakannya diperolehi syarikat yang ada kaitannya dengan Umno," kata Lim Kheng Yaik dalam temubualnya dengan The Edge.

    Paling menarik ialah pembongkaran beliau mengenai budaya politik wang Umno yang turut memberi kesan kepada parti komponen BN yang lain. "Semuanya wang, wang, wang dan wang," ujar Kheng Yaik.

    Amat memalukan apabila rakan bukan Melayu Umno yang mendedahkan perangai buruk mereka yang meletakkan duit sebagai mauduk perjuangan.

    Jelaslah, dakwaan bahawa kuasa Melayu hilang ekoran kekalahan Umno adalah khurafat kedua yang mesti diperangi. Khurafat itu pula mereka peralatkan untuk menagih kuasa.

    Teruk benar Umno, bukan setakat 'sumpah' mereka peralatkan, 'khurafat' pun mahu diperalatkan

    ReplyDelete
  4. BILA DATO ANWAR DIPENJARA/ISA SIAPA PULA AKAN PERJUANGKAN BANGSA?
    KASIAN ORANG MELAYU.HJ.HADI TIDAK MAMPU,
    LAGI SEKALI HANG JEBAT MUNCUL TUAH KORBANKAN BANGSA.

    DITANJUNG KLING JADI PERISTIWA

    BANGSA MELAYU AKAN LAGI BERPECAH.
    ORANG PERTAMA PECAHKAN BANGSA MELAYU ADALAH ISA BIN MAHADIR YANG KEDUA ISA BIN ABDULLAH.

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.