Dr Maza Malukan Saya - Ustaz Kazim
Berita
,
Dr Asri
,
Islam
,
Ustaz Kazim Elias
IPOH: Pendakwah terkenal Datuk Mohamad Kazim Elias menyifatkan tindakan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tidak bersetuju beliau dipilih menganggotai panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam sebagai tidak adil dan memalukan dirinya.
Beliau berkata Mohd Asri mengeluarkan surat melalui Jabatan Mufti Perlis kira-kira dua minggu lepas bagi membatalkan beliau sebagai ahli panel forum yang diadakan sempena Hari Keputeraan ke-72 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Mei depan.
"Secara peribadi saya malu apabila dituduh periwayat palsu. Saya hormat dia sebagai seorang mufti tetapi bila dia keluarkan kenyataan sebegitu seolah-olah saya menyampaikan benda yang tidak betul kepada pendengar ceramah saya selama ini. Mereka yang pernah dengar ceramah saya akan jadi keliru dengan isu ini.
"Saya terpaksa mempertahankan diri sebab ia menjejaskan kredibiliti dan imej saya sebagai seorang penceramah yang dituduh menggunakan riwayat palsu," katanya dalam sidang media di sini.
Mohamad Kazim, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, diminta mengulas penyebaran surat berkaitan di media sosial sejak pagi semalam yang menyatakan Jabatan Mufti Perlis tidak bersetuju dengan pemilihan beliau sebagai ahli panel forum berkenaan atas alasan sering menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya.
"Kalau saya dikatakan mengeluarkan riwayat yang tak sahih, sepatutnya perkara ini boleh dibawa berbincang, bukan dengan mengeluarkan surat dan tersebar meluas di media sosial," katanya.
Beliau berkata riwayat palsu yang dimaksudkan dalam surat berkenaan merujuk kepada rakaman di YouTube daripada satu ceramahnya yang antara lain menyatakan 'kenduri Rasulullah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari.'
Mengulas perkara itu, Mohamad Kazim berkata beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.
"Mungkin dia ada isu lain yang tersirat di hati dia. Sebagai orang Islam (kita) sepatutnya saling tolong-menolong, bukannya menyekat," katanya.
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.