MR KARPAL... GUNALAH BAHASA MALAYSIA

Encik Karpal... Dah bertahun duduk Malaysia pun masih tak faham lagi ke!

Mahkamah Rayuan mempertahankan kedaulatan penggunaan Bahasa Malaysia dalam prosiding perundangan sambil menolak kes Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahkamah memutuskan kes yang difailkan Anwar dalam Bahasa Inggeris ada kecacatan dan tidak sah.

Menurut penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan semasa menolak rayuan Anwar dalam saman fitnah RM100 juta terhadap Dr Mahathir, peguam-peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah.

Hakim Abdul Malik Ishak dalam penghakiman setebal 31 muka surat bertarikh Nov 2 dan diedarkan kepada pemberita hari ini menyebut Bahasa Malaysia mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah.

Pada Okt 10, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah.

“Keutamaan Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan.

Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah mesti dalam bahasa kebangsaan.

Peraturan 101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994 menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam bahasa kebangsaan.

“Oleh itu, kegagalan di pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa Malaysia menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan,” kata Hakim Abdul Malik dipetik Bernama.

Beliau berkata mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan dokumen mahkamah dalam bahasa Malaysia seperti ditetapkan oleh undang-undang.

Memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris yang difailkan Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak, katanya.

“Perayu mesti memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan. Tiada bahasa lain akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan,” kata beliau.

Anwar memfailkan saman pada Jan 26, 2006, mendakwa kenyataan Dr Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

Pada Julai 4, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu.

Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Pada Okt 10, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan rayuan itu dan memerintahkan Anwar membayar kos.

Hakim Abdul Malik berkata: “Semuanya silap berhubung rayuan itu dan secara terang-terangan melanggar peraturan di pihak perayu dalam kes ini.

“Memburukkan lagi keadaan, memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris itu juga tidak ditandatangani oleh peguam yang mewakili perayu dan dengan itu menyebabkannya tidak sah dan tiada mempunyai sebarang kesan.”

Peguam Karpal Singh dan Sankara Nair mewakili Anwar manakala peguam Datuk VK Lingam dan R Thayalan mewakili Dr Mahathir.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider Sankara berkata pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan. [Sumber Asal : Malaysian Insider]


Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.