RAJA TIDAK PEKAK - SULTAN AZLAN SHAH

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja adalah satu perbuatan "menyalakan api dalam sekam" yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa adalah tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.


"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan adalah resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak. - Bernama



Photobucket

TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

12 comments:

  1. Salam

    Daulat Tuanku

    Sebenornya Sultan Perak sayang semua rakyatnya, ampun tuanku patik pohon bubar DUN Perak. Ayuhai UMNO BN sambut lah titah sultan Perak tu jangan kite berebut biar rakyat yang buat keputusan.

    ReplyDelete
  2. Assalamulaikum.....
    Ya, ALLAH kurniakanlah taufik dan hidayahmu kepada Raja kami supaya dapat memerintah dengan adil dan saksama....Berilah kekuatan kepadanya supaya kemelut Politik Perak dapat ditangani dengan bijaksana dan berhemah....Amin yarabalalamin.....

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Patik sokong titah tuanku bahawa Raja tempatnya atas dari POLITIK tetapi ARAK tak boleh sama sekali atas dari AGAMA...

    tq!

    ReplyDelete
  4. Salam,
    Biasanya titah raja untuk dijunjung; bukan untuk dikomen. Tapi malangnya titah baginda nampaknya ada mengandungi tuduhan kepada pihak-pihak tertentu. Ini menyebabkan titah itu boleh dipertikaikan dan tidak "dijunjung" oleh semua pihak.

    ReplyDelete
  5. Daulat Tuanku, mereka yang tidak menjujung institusi raja adalah mereka yang lupa daratan, tamak kuasa ... Patik menyanjung tinggi titah tuanku. Pas kena terima hakikat mereka bukan lagi kerajaan di Perak. Ingat takdir Tuhan.

    ReplyDelete
  6. Raja bukan sahaja perlu tidak memihak kepada mana-mana parti tetapi misti dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti atau puak. Umpamanya krisis di Perak Sultan perlu bertenang dan mengambil sedikit masa untuk membuat kaji selidik terpeinci sebelum memutuskan sesuatu. Memutuskan pengguguran kuasa tertentu dalam sehari adalah dilihat memihak oleh pehak tertentu. Jgn pulak mudah mencapkan derhaka mengikut skrip puak tertentu terhadap pandangan dan kritikan membina. perbetulkanlah keadaan sekiranya ada ruang..

    ReplyDelete
  7. ketika Pakatan menang tipis, Baginda telah memanggil setiap ADUN Pakatan untuk mendapat kepastian dan setelah beberapa ADUN Pakatan Melompat, Baginda buat sekali lagi dengan memanggil ADUN BN..logiknya kalaulah kita jadi Sultan siapa yang kita suka jadi memanda-memanda menteri kita...satu Agama atau Lain agama

    ReplyDelete
  8. Sulatan adalah untuk rayat perak keseluruhannya. Sultan bukan hanya untuk UMNO sahaja. apalah salah dan dosa rakyat perak yang bukan UMNO/BN sehingga mereka dipingirkan. kenapakah sulatan hanya pilih UMNO sahaja memerintah, sultan tak sayangkan rakyat perak yang bukan UMNO ke, sehingga sanggup sultan membuang mereka.sedangkan mereka amat sayangkan sultan.

    ReplyDelete
  9. Bukan kuasa Raja yang dipertikaikan. Tetapi kebijaksanaan baginda dalam krisis Perak. Saya telah hilang segala keyakinan kepada institusi Raja dinegara ini.

    Sememangnya Raja diatas politik, tetapi Raja berpelembagaan adalah dibawah Pelembagaan.

    KaKiaYam

    ReplyDelete
  10. Hati2 komen pasal keputusan Sultan,baginda seorang yang bijak. Terima sahaja keputusannya, lagipun sudah jelas tindakannya adalah betul dan adil untuk semua.

    ReplyDelete
  11. sedangkan amirulmukminin pun dahulu dikomen, inikan pula seorang sultan kepada satu negeri kecil

    ReplyDelete
  12. akak comel!!hope akak hepi dgn husband!

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.