Pakatan hantar surat pada Agong


MALAYSIAKINI | Pakatan Rakyat telah mengutuskan surat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu, memohon mengadap Seri Paduka, kata Ahli Parlimen PAS bagi Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam forum anti-ISA di Pulau Pinang malam tadi.

Jika Seri Paduka memberi perkenan, sepertimana yang diharapkan oleh pemimpinan Pakatan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya untuk meyakinkan Seri Paduka bahawa peralihan kuasa di Putrajaya tidak dapat dielakkan.

Mujahid berkata, Pakatan bergantung kepada Seri Paduka untuk menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memanggil sidang khas Parlimen untuk berdepan dengan usul tidak percaya yang mahu dibentangkan oleh Pakatan.

Sambil melahirkan keyakinannya bahawa Seri Paduka akan campurtangan untuk menangani krisis politik sekarang, Mujahid berkata, pihak pembangkang dirangsang oleh campurtangan istana dalam menyelesaikan isu pelantikan menteri besar di Perak, Perlis dan Terengganu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Mengikut perlembagaan

Beliau berkata, keutamaan Pakatan ialah untuk menggunakan semua cara yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Katanya, Pakatan tidak akan menggunakan cara yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak demokratik tetapi akan terus menggunakan cara yan gdiperuntukan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa secara lancar.

Anwar mendakwa Pakatan mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli Parlimen (MP), termasuk yang MP Barisan yang didakwanya melompat menyertai pembangkang, bagi mengambil alih kerajaan.

Para pemimpin BN, termasuk perdana menteri, telah menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai satu pembohongan.

Setakat ini, usaha Pakatan untuk mengambil alih kuasa secara perlembagaan belum berhasil.

Abdullah juga enggan bertemu dengan Anwar untuk membincangkan peralihan kuasa. Beliau juga menolak permintaan pembangkang supaya memanggil sidang khas Parlimen bagi membentangkan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Oleh itu, kata Mujahid lagi, langkah seterusnya ialah Istana Negara dan Pakatan berhadap Seri Paduka akan campurtangan dan menasihatkan perdana menteri supaya memanggil sidang khas Parlimen.

Dengan cara itu, kata beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dapat membuktikan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Sebelum itu, ketika bercakap di forum tersebut di Georgetown, Mujahid mendesak pemimpin BN, terutama dari Umno, bahawa mereka tidak akan memerintah untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, kata beliau, BN harus menerima realiti politik dan bersedia menyerahkan kuasa kepada Pakatan.

Ekoran penahanan ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, Raja Petra Kamarudin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, pembangkang telah menganjurkan siri pertemuan dan majlis menyalakan lilin, untuk membantah undang-undang tersebut.

Pakatan juga turut mengambil peluang daripada pertemuan-pertemuan tersebut untuk mendapatkan sokongan badan-badan sivil dan rakyat untuk menrealisasikan usaha peralihan kuasa tersebut.
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.