KU LI : ANWAR SUKAR TUBUH KERAJAAN
BERNAMA | KUALA LUMPUR: Adalah sukar bagi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan sebuah kerajaan ekoran kesukaran parti itu bekerjasama dengan DAP berbanding PAS, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata perbezaan ketara dalam dasar dan ideologi antara parti-parti ini merupakan masalah terbesar Anwar dalam usaha mewujudkan satu pakatan yang benar-benar mantap antara mereka.
“Saya rasa sukar bagi Anwar kerana DAP adalah rakan baik semasa pilihan raya, tapi apabila dasar dan ideologi mereka diambil kira, saya rasa Anwar tidak akan berjaya.
Bagaimana hendak tadbir Malaysia dengan wujudnya dua ideologi dan dasar yang berbeza,” katanya pada sesi dialog dengan pengendalipengendali blog di rumahnya di sini hari ini.
Katanya Anwar yang dilantik ketua pembangkang di Parlimen perlu membuktikan dakwaannya bahawa beliau mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan, dan Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan majoriti.
“Bila dia (Anwar) mendakwa memiliki jumlah itu (Anggota Parlimen yang menyertai Pakatan Rakyat), dia perlu membuktikannya, tapi dia gagal berbuat demikian, dia ini pandai buat tawaran yang dianggap popular kepada mereka yang mempercayainya,” katanya.
Anwar yang memenangi pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lepas mendakwa beliau sudah memiliki jumlah anggota parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru namun tidak menyatakan senarai nama anggota parlimen itu.
Tengku Razaleigh berkata Anwar berharap untuk menarik sokongan orang ramai terhadap agendanya untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Sebab itu ada penyokong di kalangan parti Gerakan, MCA, MIC tertarik dengan tawaran dia. Ini memang menjejaskan BN. Pada pilihan raya lalu (8 Mac) BN kalah di banyak tempat. Selain dari itu, ada juga isu-isu yang lain,” katanya.
Beliau berkata negara akan menghadapi keadaan yang buruk sekiranya Anwar menerajui kerajaan disebabkan banyak perbezaan dasar dan ideologi antara pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat.
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.