BILA LAGI NAK BERUBAH?
Berita ini tidak mendapat liputan utama di KPMU.net ataupun Agenda Daily. Mungkin mereka merasakan, pendakwaan BPR terhadap perbuatan rasuah yang dilakukan oleh seorang ADUN Negeri Sembilan tidak begitu penting untuk disiarkan berbanding berita penahanan dan pendakwaan ADUN PKR di Perak.
Apa yang pasti, berita pendakwaan ADUN tersebut tentunya akan mendapat liputan utama di laman-laman portal ataupun bloggers Pakatan Rakyat. Sudah tentu berita seperti ini akan menguatkan lagi hujah mereka untuk mendakwa betapa korupnya kerajaan sekarang ini.
Samada kita sedar atau tidak, rakyat di negara ini sudah semakin jelak dan menyampah dengan amalan rasuah yang kian berleluasa di negara ini. Lebih menjelikkan lagi apabila mereka yang terlibat dalam perbuatan ini adalah di kalangan pemimpin tertinggi dalam kerajaan.
Realitinya, isu rasuah sebegini telah menyebabkan kerajaan Barisan Nasional ditolak oleh pengundi pada PRU ke 12 dulu. Rakyat semakin sangsi dengan keupayaan BN dalam menangani isu rasuah. Mahu atau tidak mahu, kerajaan BN mesti membuat reformasi besar-besaran untuk menghapuskan amalan rasuah jika mahu terus berkuasa di Malaysia.
Amaran ini juga perlu ditujukan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini menjadi peneraju di 5 buah negeri. Adakah mereka hanya pandai membongkar kisah rasuah kerajaan BN atau mereka benar-benar ikhlas mahu menangani rasuah masih lagi menjadi tanda-tanya banyak pihak.
Sampai bila amalan rasuah ini akan terus berlaku dan bermaharajalela dalam sistem pentadbiran negara kita? Di mana silapnya dan apakah kaedah yang perlu digunakan untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa?
Untuk membendung gejala rasuah ini daripada terus berleluasa di negara ini, kerajaan perlu segera melaksanakan strategi jangka pendek dan juga strategi jangka panjang. Untuk peringkat awal, kerajaan hendaklah segera membebaskan BPR daripada terus diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.
BPR perlu berdiri sebagai badan yang benar-benar bebas dan berkuasa penuh untuk menyiasat dan mendakwa sesiapa sahaja yang terlibat dalam amalan rasuah. Undang-undang dan akta rasuah sedia ada perlu dipinda dan dimantapkan lagi. Lebih afdal jika hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah rasuah yang beragama Islam ditentukan melalui kaedah hudud.
“Barangsiapa yang tidak menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka mereka itu orang-orang kafir”
Surah Al-Maaidah : 44
Ayat di atas jelas menunjukkan amaran Allah SWT ke atas mana-mana umat Islam yang tidak mahu menegakkan hukum Allah di dunia ini. Hukum Allah merangkumi segala aspek ibadah, jenayah, ekonomi dan lain-lain lagi. Siapalah kita untuk mengatur kehidupan manusia di dunia ini kerana kita hanyalah sekadar salah satu makhluk ciptaanNya.
Seperti dijangka, perlaksanaan hudud di negara ini tentunya akan mendapat tentangan dan bantahan daripada pelbagai pihak. Perkara sebegini sememangnya tidak dapat dielakkan kerana rakyat di negara ini sudah terbiasa dengan sistem pemerintahan dan perundangan sekular yang diajar oleh penjajah.
Sejarah Kesultanan Melayu Melaka pernah mencatatkan, kemuncak keamanan dan kemakmuran pentadbiran Empayar Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dan Sultan Alaudin Shah adalah disebabkan mereka mempraktikkan sistem pemerintahan dan perundangan yang berteraskan ajaran Islam.
Malangnya, selepas negeri ini dijajah dan ditinggalkan oleh penjajah, rakyat di negara ini lebih suka dan terpesona dengan amalan yang ditinggalkan oleh penjajah. Sudah tiba masanya segala sistem yang bertentangan dengan ajaran Islam di negara ini ditukar kepada sistem yang berteraskan ajaran Islam.
Bagi yang bukan Islam, tiada apa yang perlu dibimbangkan jika sistem pemerintahan dan perundangan di negara ini ditukar kepada sistem yang berteraskan kepada ajaran Islam yang sebenar. Jaminan ini bukannya datang dari saya tapi datangnya daripada Allah SWT.
“Sesungguhnya apa-apa yang dijanjikan kepadamu adalah benar”
Surah Az-Zaariyaat :5
TERJUMPA LAMAN NIH
ReplyDeletehttp://anginperubahan.blogspot.com/
terpulang pada sendiri ... sekurang2 tau apa berlaku
tq
salam