TADBIR URUS KEWANGAN ISLAM

Malaysia kini terkenal sebagai negara penawar perkhidmatan kewangan Islami antarabangsa dan merupakan pelantar utama kepada pelabur dan pelanggan perbankan berlandaskan syariah. Perkembangan yang memberangsangkan ini berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu bermula dari institusi perbankan pertama ditubuhkan pada 1983 sehinggalah kepada pelancaran institusi kewangan terbaru kebelakangan ini.

Penggubalan dan penguatkuasaan Akta Perbankan Islam 1983 juga selari dari sudut perlembagaan dalam usaha penambahbaikan tadbir urus syariah dalam kewangan Islami. Sokongan pelanggan korporat dan individu dalam dan luar negara banyak menyumbang kepada perkembangan ini selain daripada sokongan dasar kewangan negara yang peka kepada keperluan semasa dan peluang pembangunan dalam industri kewangan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian secara khusus untuk menjamin Malaysia terus mengetuai perkembangan dan pembaharuan dalam bukan sahaja industri kewangan antarabangsa, tetapi kepada perkhidmatan-perkhidmatan dalam industri lain. Perkara pokok itu adalah pemurnian kaedah laporan dan audit kewangan standard serta pengemaskinian pemantauan dan pematuhan syariah. Secara umum, kunci utama kepada perbankan dan kewangan Islami terletak kepada kekuatan badan seliaan perakaunan dan pemantauan syariah, dan secara tidak langsung penguna kepada laporan kewangan syarikat yang terdiri dari pelabur berpotensi serta masyarakat umum. Kedua-dua ciri inilah yang membezakan pandangan alam dan amalan kewangan Islami. Dengan adanya satu aturan yang kukuh, keyakinan pematuhan boleh membuka peluang pelaburan yang lebih luas dan berkeyakinan.

Usaha badan penetapan standard perakaunan dan audit seperti Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) mendahului aturan pelaporan akaun dan kewangan. AAOIFI juga memberi satu arahtuju kepada kedua-dua kejanggalan yang disebutkan kepada negara-negara yang ingin menggunapakai piawai yang dikeluarkan walaupun piawai yang dikeluarkan masih boleh dikemaskinikan lagi. Manakala International Financial Reporting Standard (IFRS) pula memberi tumpuan kepada laporan syarikat-syarikat tidak terhad kepada institusi kewangan, menjadikan laporan kewangan dapat diperbandingkan di peringkat antarabangsa serta membolehkan pergerakan modal dan pelaburan.

Perkembangan ini tidak selari dengan perkembangan semasa di Malaysia. Tumpuan kepada piawai sama ada yang dibuat oleh AAOIFI atau IFRS kurang mendapat perhatian. Tambahan pula, peranan Malaysia Accounting Standard Board (MASB) dalam mengeluarkan beberapa piawai perakaunan Islami tidak menampakkan pengaruh berbanding Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Institusi kewangan Islam cenderung menggunapakai Garis Panduan BNM berbanding standard yang dikeluarkan oleh MASB kerana sebab utamanya BNM mempunyai kekuatan penguatkuasaan. Keadaan ini akhirnya menjadikan institusi perbankan dan kewangan Islami mengambil jalan pintas dengan hanya menggunapakai piawai yang menjamin kelangsungan lesen operasi mereka. Institusi kewangan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia juga sedikit demi sedikit terpengaruh dengan iklim ini dan penekanan kepada satu piawai antarabangsa semakin terpinggir.

Penetapan piawai audit perakaunan dan pematuhan syariah amat penting untuk menjamin maklumat berkenaan dengan urus tadbir syarikat sampai kepada pengguna laporan secara telus dan tepat dengan operasi sebenar. Dalam hal ini, penekanan bukan sahaja penting kepada institusi berkenaan kewangan islami, malah badan-badan atau syarikat-syarikat dalam perusahaan lain. Sehubungan dengan ini juga, peranan pemantauan dan laporan syariah bukan sahaja perlukan kepada piawai tetapi pemantauan dan laporan yang tidak terikat dan bebas.
Permintaan kepada barangan dan perkhidmatan berlandaskan pematuhan syariah kini memberi kesan kepada keseluruhan urusan dan muamalah negara dan antarabangsa. Pengenalan Islamic Manufacturing Practice (IMP) yang dipelopori oleh badan NGO dengan kerjasama MARTRADE mula mendapat tempat dalam pameran-pameran antarabangsa seperti The Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Cairo International Trade Fair, serta permintaan beberapa negara di Timur Tengah dan Afrika Selatan. Pendekatan pengeluaran, pengilangan dan pemasaran IMP adalah berlandaskan kepada pandangan alam Islam berkenaan faham "halalan tayyiban".

Dalam industri khusus kewangan Islami pula, perkembangan terkini deposit perbankan dan kewangan Islam dapat dilihat dalam laporan terkini (sehingga Februari 2008) BNM yang secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan. Dalam laporan tersebut, jumlah deposit (simpanan, pelaburan, deposit pelaburan khas dan deposit instrument) menjangkau 125, 258.8 juta iaitu peningkatan sebanyak 26.3% daripada Disember 2006. Deposit ini adalah deposit terkumpul hasil dari aqad pelabur dengan bank-bank tersenarai berlandaskan Bai Bithaman Ajil, Ijarah, Ijarah Thumma al-Bai, Murabahah, Musyarakah, Mudharabah, Istisna' dan lain-lain. Dalam perkembangan lain, Malaysia juga merupakan negara penyedia pasaran sukuk serta penguasaan ke atas industri takaful dan bakal menguasai takaful semula (re-takaful) antarabangsa. Manakala pertumbuhan rizab antarabangsa (international reserve) semasa BNM kini telah mencecah RM396.7 billion (USD124.1 billion) setakat 30 April 2008. Kedudukan rizab ini memadai untuk peruntukan 9.8 bulan imbangan import (retained import) dan 7.3 kali hutang jangka pendek. Keadaan ini menunjukkan bahawa BNM berupaya menjadi satu bank pusat yang disegani di peringkat antarabangsa.

Hakikat yang perlu dilihat oleh semua pihak ialah, sejauh mana kesemua muamalah ini selari dengan dan mengikut ketetapan sebenar syariah sekiranya piawai pelaporan dan pemantauan syariah di Malaysia masih tidak selaras?
BNM mengeluarkan Garis Panduan berkenaan perlantikan dan tanggungjawab Jawatankuasa Shariah namun, laporan kewangan institusi kewangan Islami di Malaysia yang dikeluarkan tidak selaras dan berbeza-beza kandungan dan bentuknya. Apatah lagi sekiranya pengguna atau pelanggan ingin membuat perbandingan dengan luar negara. Kelemahan piawai ini menyukarkan pengguna mengetahui perkara berkenaan pematuhan syariah dalam laporan kewangan tersebut. Kejanggalan ini boleh menutup peluang aliran modal dan deposit pelaburan.

Di samping keperluan kepada satu standard antarabangsa, Malaysia juga perlu membuka jalan membangunkan satu model kejuruteraan kewangan agar dapat dijadikan landasan kepada syarikat-syarikat korporat tidak terhad kepada institusi kewangan untuk merombak pengurusan kewangan korporat kepada pengurusan kewangan berlandaskan pematuhan syariah. Usaha ini pastinya memerlukan kerjasama semua pihak dan syarikat-syarikat yang telah merombak aturan kewangan mereka kepada pematuhan syariah. Inilah yang menjadi saranan dan penekanan agama Islam supaya tidak mengasingkan antara agama dan urusan seharian, khususnya dalam muamalah.

Dipetik dari laman web IKIM
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.