Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 160), orang Melayu ditakrifkan sebagai `seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan i) lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada Hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau ii) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut'
Tambah lagi dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Kedudukan ini membolehkan Kerajaan Persekutuan membelanja wang Persekutuan untuk membangunkan institusi-institusi Islam bagi kepentingan umat Islam di negara ini yang rata-rata adalah terdiri dari orang Melayu. Dan di dalam hal ini kerajaan telah mendirikan berbagai institusi berkenaan dan menanggung belanja/kos operasi dan pengurusannya bagi kepentingan umat Islam/Melayu.
Di samping itu berdasarkan satu kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 18 April 2001 dan disokong oleh Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005, bahawa Islam adalah satu identiti bangsa yang tidak boleh dipisahkan dari orang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160. Maka berdasarkan keputusan ini orang Melayu tidak boleh membuang aspek Islam di dalam identitinya kerana ia merupakan sebahagian dari takrif Melayu itu sendiri menurut Perlembagaan Persekutuan. Maka kerana itu tindakan seseorang Melayu untuk meninggalkan agama Islam (menjadi Murtad) adalah tidak sah dari segi Perlembagaan kerana tindakan itu membawa implikasi menukar bangsa seseorang sedangkan bangsa adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti.
Berdasarkan kepada huraian yang jelas berkaitan perhubungan Islam dan Melayu dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan keserasian di antara Islam dan budaya Melayu, Islam dan Melayu adalah sinonim dan agenda untuk membangun kekuatan Melayu dalam kesemua aspek perlu diasaskan kepada pendekatan Islam. Ini termasuk membangun kekuatan ekonomi. Lebih penting dari itu, pendekatan Islam memiliki ciri yang maju, berdaya saing dan bersesuaian dengan fitrah manusia. Ciri-ciri tersebut pada hakikatnya yang menjamin kepada kejayaan.
Jika kita merujuk kepada al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w., perspektif yang tepat kepada pentingnya orang Melayu berusaha menguasai kekuatan ekonomi adalah seperti berikut:
"Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bantera itu berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.
Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)" Surah Ibrahim 32-34
"Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebarlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung" Surah Al-Jumuah: 10
"Mencari rezeki yang halal merupakan satu kewajipan kepada setiap orang Islam" Hadis Riwayat At-Tabarani
"Sesungguhnya kamu meninggalkan keluargamu dalam keadaan berharta adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa sehingga terpaksa meminta-minta (dan akan menyusahkan orang lain)"Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
"Sesungguhnya Allah s.w.t. suka melihat kesan nikmatNya ke atas hambaNya" Hadis Riwayat at-Tirmizi
"Sembilan per sepuluh sumber rezeki ada dalam perniagaan" Hadis Riwayat At-Tirmizi
"Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada' (pada hari akhirat nanti)" Hadis Riwayat At-Tirmizi
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya" Hadis Riwayat Muslim
"Tangan di atas (yang memberi), lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima bantuan)" Hadis Riwayat Imam Ahmad
"Hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran" Hadis Riwayat At-Tabarani
"Ya Tuhanku, aku berlindung kepadamu daripada kekufuran dan kemiskinan" Hadis Riwayatkan Abu Daud
"Ya Tuhanku, aku berlindung kepadamu daripada kefakiran, kekurangan dan kehinaan, dan aku berlindung dari menganiaya dan dianiaya" Hadis Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i, Ibn Majah Dan Al-Hakim
Dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kita dapat satu pandangan dan panduan bahawa setiap individu Melayu perlu berusaha untuk melibat dan memajukan pencapaian kedudukan ekonomi masing-masing.
Di samping Islam menyeru kepada setiap penganutnya berusaha memantap kedudukan ekonomi mereka, Islam turut menganjur kepada pendekatan menyusun masyarakat dan kegiatan ekonomi melalui prinsip al-`Adl wal Ihsan. Prinsip al-`Adl wal Ihsan ini menganjurkan bahawa sistem ekonomi dalam negara mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan ekonomi dan ekonomi muafakat. Kedua-dua unsur ini adalah asas kepada pencapaian perjalanan sistem ekonomi yang teratur, cekap dan berdaya saing. Keadilan ekonomi yang menepati prinsip al-`Adl membawa pengertian yang mendalam. Secara ringkas, beberapa ciri berikut dapat menjelaskan keadilan dalam perjalanan sistem ekonomi:
· Setiap individu sebagai pemegang amanah Allah berhak memiliki harta tertakluk kepada syariah dan menjaminkan harta sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi melalui kegiatan ekonomi pada tiap masa semungkin. Negara wajib merancang ke arah pencapaian tersebut melalui dasar fiskal dan kewangan.
· Setiap individu mempunyai kebebasan untuk menceburi dalam setiap urusan ekonomi yang dibenarkan oleh Syariah. Tidak ada golongan yang boleh menggagalkan kebebasan ini. Negara dengan itu mempunyai tanggungjawab dalam mengawal bahawa kebebasan ini benar-benar dapat dilaksana.
· Setiap individu dalam negara semestinya dapat memenuhi keperluan asasinya yang mana tanpa keperluan tersebut, ia akan menjejaskan kebajikannya dan seterusnya masyarakat. Mengikut Imam Al-Ghazali, keperluan tersebut dapat dipenuhi melalui pemeliharaan keimanan, kehidupan, intelek, keturunan dan kekayaan mereka. Negara bertanggungjawab memastikan matlamat ini tercapai melalui semua dasar-dasar yang dikemukakan.
· Setiap faktor yang menyumbangkan kepada proses pengeluaran ekonomi hendaklah mendapat ganjaran yang setimpal dengan sumbangan mereka. Sistem pulangan yang positif kepada faktor modal dengan berlandaskan sistem riba adalah diharamkan. Begitu dengan mekanisme ekonomi lain yang berunsur penindasan (zalim).
· Setiap peruntukan sumber negara hendaklah mengikut keutamaan keperluan rakyat. Panduan Syariah perlu diikuti dalam hal tersebut.
· Setiap bentuk pembaziran sama ada dalam bentuk projek atau perayaan yang hendak dilaksanakan atau pembaziran yang terdapat dalam proses pengeluaran, pengagihan dan penggunaan mestilah di minima dan jika mampu, dihapuskan.
Ekonomi muafakat yang menepati prinsip al-Ihsan pada hakikat yang sebenar akan terlaksana dengan wujudnya keadilan ekonomi (Hasil daripada pelaksanaan prinsip al-adl). Islam menganjurkan bahawa kesemua unit ekonomi bekerjasama (bermuafakat) dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Setiap unit ekonomi sama ada, sektor awam atau swasta, pengguna atau pengeluar, pekerja atau majikan dan seterusnya, dan golongan kaya dan miskin sepatutnya mempunyai matlamat yang satu, iaitu menghayati semangat muafakat dan kasih sayang. Oleh itu, setiap unit ekonomi perlu saling bantu membantu di antara satu sama lain kerana pada hakikat mereka saling memerlui. Pendekatan ini menjalin kestabilan dan keutuhan perjalanan sistem ekonomi.
Allah S.W.T. berfirman dengan maksud:
"Maha suci Allah yang menjadikan berpasang-pasang semuanya, iaitu apa-apa ditumbuhkan di bumi dan diri mereka sendiri dan apa-apa yang tidak mereka ketahui." (Yassin: 35)
Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman dengan maksud:
"Tiap-tiap sesuatu itu Kami jadikan berpasang-pasang, mudah-mudahan kamu menerima pengajaran". (Adz-Dzariyat: 49)
Allah S.W.T. turut memperingati umat Islam dengan maksud:
"Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin". (Al-Maa'uum: 1-3)
Dari kefahaman dan pendekatan ini, ia akan mengurangkan pertelingkahan di antara pasangan unit ekonomi, seperti sektor awam - sektor swasta; majikan-pekerja; penjual-pembeli; pengeluar-pengguna; dan sebagainya dalam sistem ekonomi yang berasaskan Islam. Ini adalah kerana kesemua unit-unit ekonomi tersebut pada fitrahnya perlu memerlui di antara satu sama lain untuk memajukan ekonomi. Dengan itu, dapat kita rumuskan bahawa Islam menganjurkan perhubungan ekonomi secara muafakat dan bukan secara penipuan dan penindasan. Bahkan prinsip al-ihsan (muafakat) adalah inti kepada keutuhan kegiatan ekonomi negara.
Jika individu Melayu menghayati Islam di peringkat individu dan juga dalam menyusun sistem ekonomi bernegara, natijah akhir sudah pasti umat Melayu Islam akan mampu memperkukuhkan kekuatan ekonomi demi kesejahteraan ummah dan masyarakat negara pada umumnya.
DIPETIK DARI LAMAN WEB IKIM
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.