UGUTAN DAP untuk keluar daripada Pakatan Rakyat berhubung isu pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini boleh dianggap kemuncak kepada krisis dalam hubungan parti itu dengan Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika selama ini, terutama selepas kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu, ketiga-tiga parti itu boleh duduk semeja. Mereka mengatur langkah untuk memimpin pentadbiran negeri yang dikuasai, malah bercita-cita membentuk Kerajaan Persekutuan baru pada 16 September lalu, nampaknya haluan itu kini semakin berbeza dan bercelaru.
Sebenarnya, DAP dan Pas mempunyai ideologi dan pendirian yang cukup berbeza; bagaikan minyak dengan air, sehinggakan sukar bagi pemimpinnya untuk berbincang dan berkompromi.
Sejak isu berkenaan muncul selepas Debat Perdana membabitkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa di Kota Bharu, Kelantan bulan lalu, ia nampaknya menghantui pembangkang sehingga membuat rakyat keliru.
Kita yakin Pas cuba meredakan keadaan untuk tidak menjadikan isu pelaksanaan undang-undang berkenaan, terutama ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana ia dilihat tidak menguntungkan parti itu dalam berkempen.
Ini bermakna Pas sanggup 'menyembunyikan' hasrat semata-mata kerana kepentingan politik, bukan atas tuntutan agama.
Malah, serangan secara terbuka oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Penasihat PKR dan peneraju Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu berkenaan turut menimbulkan kegelisahan di kalangan pengikut ketiga-tiga parti terbabit.
Rakyat sedar Pas juga dalam keadaan terdesak kerana pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini menjadi manifesto parti setiap kali pilihan raya diadakan. Namun, sejak parti itu menguasai kerajaan Perak dan Kedah, ia cuba mengurangkan nada keras mengenai pelaksanaan hukum berkenaan dengan tidak menimbulkan dalam ceramah atau Dewan Undangan Negeri.
Kita sedar DAP tidak gemar dengan hukum berkenaan. Jadi Pas terperangkap ketika Debat Perdana itu dan terpaksa mempertahankan dasar berkenaan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan akan melaksanakan hukum itu jika memerintah negara.
Berikutan gabungan rapuh di dalam Pakatan Rakyat, Anwar cuba mencari jalan penyelesaian dengan berkata jika gabungan itu memerintah hudud dilaksanakan ke atas masyarakat Islam saja. Namun, ia gagal meredakan kebimbangan DAP terutama Karpal Singh terhadap niat sebenar Pas dan PKR sekiranya memerintah kerana padanya hukum hudud bercanggah dengan Perlembagaan.
Nampaknya, Pakatan Rakyat terjerat dalam perbezaan ideologi yang menghalang mereka berkompromi. Berikutan itu, pemimpin parti komponen BN perlu belajar daripada kesilapan itu dan melihat perkembangan terbaru ini sebagai sesuatu yang boleh dijadikan teladan.
Sumber asal: Minda Pengarang, Berita Harian
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.