PERMOHONAN DAKWA ISRAEL DAH SIAP
Sekumpulan peguam dan juri antarabangsa memulakan inisiatif bagi memohon Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat dan mendakwa Israel terhadap tuduhan melakukan jenayah perang serta jenayah kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Kumpulan itu mengadakan rundingan di Geneva, kelmarin, untuk mencapai perincian terakhir berhubung serangan Israel di Gaza bagi menghasilkan dokumen mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh tentera rejim Yahudi itu.
Jurucakap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Arab, Haytham Manna, berkata permohonan itu akan dikemukakan di The Hague, Rabu ini.
Suruhanjaya itu adalah antara 300 kumpulan hak asasi manusia yang merancang menghantar maklumat setebal 37 muka surat kepada ICC yang berpejabat di Belanda.
ICC mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai sejak 2002. Ia boleh membicarakan individu jika jenayah didakwa dilakukan ke atas jajahan atau negara atau parti negara anggota.
Walaupun Israel bukan negara anggota, kumpulan peguam dan juri itu berkata, ICC masih boleh mendakwa individu yang bertanggungjawab dalam serangan ganas itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, sendiri mendedahkan sekurang-kurangnya 1,300 penduduk Gaza termasuk terlebih 400 kanak-kanak maut, manakala 5,300 lagi cedera dalam serangan 22 hari tentera Yahudi itu yang turut menyebabkan banyak kemusnahan bangunan dan kediaman.
Manna berkata, sesetengah negara anggota seperti Venezuela dan Bolivia turut berminat merujuk Israel kepada ICC.
Malah, Bolivia sedang bersedia untuk meminta Israel didakwa oleh ICC dan mahu mengumpul sokongan di kalangan rakan serantau bagi memastikan 'pemimpin politik dan tentera Yahudi yang bertanggungjawab ke atas serangan di Gaza' dihadapkan ke muka pengadilan.
Rabu lalu, Venezuela dan Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel berikutan kekejaman rejim itu di Gaza dan keengganannya mematuhi gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata lebih awal.
Sumber: Berita Harian
TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.