PUASA SONGSANG!


KUALA LUMPUR: Akibat ketagih arak, segelintir muda mudi di ibu kota sanggup mencemar puasa sepanjang hari dengan menjadikan minuman keras sebagai sajian sampingan ketika berbuka.

Meskipun agak pelik, perbuatan menjijikkan itu menjadi amalan biasa bagi kaki botol terutama di kalangan remaja yang kerap mengunjungi kelab malam dan menghabiskan masa dengan melepak di situ bersama rakan-rakan, termasuk pada Ramadan.

Sekali pandang, cara berpuasa golongan terbabit tidak ada beza dengan umat Islam lain kerana mereka berniat pada malam hari dan berpuasa keesokannya, namun amalan yang membezakan mereka ialah juadah sampingan bersulamkan ‘air setan’.

Difahamkan, individu yang terjebak dengan budaya berpuasa secara songsang itu sanggup berhabisan duit sehingga ratusan ringgit semata-mata memenuhi keinginan mereka untuk menikmati juadah arak.

Malah, tidak menjadi masalah kepada mereka jika tidak menikmati hidangan makanan yang menyelerakan ketika berbuka puasa, asalkan dapat memenuhi selera luar biasa dengan meneguk arak.


Difahamkan, golongan terbabit sanggup berlapar tanpa menjamah makanan dan minuman untuk berpuasa sepanjang hari, sebelum bergiat dengan gejala tidak bermoral itu pada waktu malam.

Sebelum mengunjungi pusat hiburan, mereka turut membeli minuman keras di kedai atau pasar raya untuk dijadikan sebahagian ‘juadah’ berbuka bagi mengelakkan perbuatan mereka diketahui.

Amalan songsang yang menyalahi hukum agama itu didedahkan seorang wanita hanya ingin dikenali sebagai Azreen, 25, yang mengakui dia bersama rakan kerap meneguk minuman keras itu ketika berbuka puasa di rumah.

Menurutnya, dia menunaikan ibadat puasa seperti umat Islam lain pada siang, tetapi ketika berbuka, dengan tidak semena-mena dia terasa ‘haus’ untuk meneguk minuman keras.

“Di bulan ini, saya dan rakan tidak makan dan minum pada siang hari, sebaliknya berpuasa seperti biasa dengan mengunjungi pasar Ramadan berhampiran rumah untuk membeli makanan sebelum singgah di kedai atau pasar raya untuk membeli arak.

“Saya tidak mengambil air itu (arak) tiap-tiap malam. Selalunya saya minum bersama rakan-rakan di rumah ketika atau selepas berbuka dan kemudian meneruskannya di kelab malam.

“Minum pun bukan kerana nak mabuk, tapi cuma suka-suka...mungkin sudah terbiasa minum bersama kawan-kawan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Azreen berkata, dia dan rakan sanggup mengikat perut mengumpul sebahagian wang gaji bagi memastikan hasrat membeli minuman keras itu tercapai.

Dia mendakwa ‘rindu’ dan terbayang-bayang jika tidak meneguk minuman keras itu kerana sebelum ini ia sudah menjadi kebiasaan ketika mengunjungi kelab malam atau melepak bersama rakan-rakan di rumah.

Wanita itu berkata, dia terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu selepas merantau ke ibu kota dan terpengaruh dengan rakan-rakan ‘kaki’ kelab malam.

“Sudah dua tahun saya terbabit dengan kegiatan tidak bermoral ini selepas berjinak-jinak menjejakkan kaki di kelab malam.

“Pada mulanya, saya takut untuk mencuba perbuatan terkutuk itu, tetapi tewas selepas melihat keseronokan rakan-rakan yang berhibur selepas meneguk air berkenaan tanpa rasa berdosa,” katanya.

Walaupun sudah cuba menjauhi perbuatan tergolong dosa besar itu dengan menghadiri beberapa sesi kaunseling, Azreen berkata dia masih gagal meninggalkan ketagihan minuman keras itu.

Dia mengakui perbuatannya itu berdosa dan berharap khidmat kaunseling dapat memulihkannya untuk kembali ke jalan yang benar.

Sumber : Metro
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Perbuatan itu jika diamalkan terus akan menjadi bertambah rumit
    1.Mudah ikut perasaan.
    2.Tidak yakin diri
    3.Tidak amalkan agama
    4.Terikut dgn kekawan
    5.Membiarkan diri hanyut.
    6.Bukan golongan beriman.
    7.Lari dari tujuan kehidupan.
    8.Mencari keseronakan hidup
    9.Tiada bimbingan.
    10.Suka khayal.
    11.Mencari kehidupan yang sesat.
    12.Ajaran syaitan.
    13.Perbuatan maksiat.
    14 Tidak menjaga kesihatan diri
    15.Kerna berkawan dengan hantu drakula.
    16.Suka.Membazir.
    17.Mengikut stail orang putih.
    18.Rasa tidak bersalah.
    19. Mudah putus asa/kecewa.
    20.Menjamah makan/minum yang tidak tahu halal/haram.

    Punca segala maksiat.
    Tanyakan diri sendiri.
    Dimana silapnya.

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.