Semua pihak wajib belajar dari kejutan keputusan PRU 12 terutamanya pihak-pihak yang menerajui media arus perdana (MAP). Kian jelas, pengaruh dan kuasa MAP telah ditewaskan oleh media alternatif yang diterajui oleh generasi muda.
Mungkin MAP masih lagi ‘berkuasa’ pada masa ini tetapi tidak mustahil kekuasaan MAP sekarang akan lenyap pada PRU 13 sekiranya pihak-pihak yang menerajui MAP masih lagi berdegil serta tidak mahu belajar dari kesilapan lalu.
Tentu ada pihak yang menganggap tulisan ini agak keras dan radikal tetapi yakinlah bahawa tulisan ini hanyalah untuk mengingatkan pihak-pihak yang menerajui MAP supaya mereka sedar dan peka dengan peredaran serta kehendak semasa.
Tanggapan golongan muda bahawa MAP adalah agen propaganda kerajaan sudah lama wujud dalam pemikiran mereka. MAP sudah lama dianggap sebagai CNN ataupun BBC yang cuba untuk ‘memperbodohkan’ tahap pemikiran generasi muda masa kini yang kian terdedah dengan pelbagai sumber maklumat baru. Tulisan, mesej atau fakta yang dipaparkan oleh MAP ternyata ‘di bawah par’ pemikiran generasi muda.
Entah kenapa, pihak yang menerajui MAP masih lagi selesa dengan teknik dan juga polisi yang diamalkan sejak sekian lama sedangkan MAP telah lama sedar yang generasi muda kian menjauhi mereka. Media alternatif kian melebarkan pengaruhnya dari tahun ke tahun dan akibatnya mula dijelmakan dalam keputusan PRU 12 yang lalu.
Kawalan dan peraturan bukanlah penyelesaian kepada pengaruh media alternatif ke atas generasi muda. Sebaliknya hanya polisi dan dasar baru sahaja yang mampu mengembalikan keyakinan generasi muda terhadap MAP. Kehendak dan kemahuan generasi muda mesti diperhalusi dan dipaparkan dalam MAP.
Golongan muda sudah lama mahukan MAP bertindak sebagai media yang bersifat ‘bebas’ dan ‘berkecuali’ bila menyampaikan sesuatu maklumat kepada rakyat dan bukannya media yang bersifat lebih cenderung kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja. Mereka inginkan MAP lebih berani untuk menyatakan ‘kebenaran’ biarpun kebenaran itu amat pahit untuk ditelan oleh pihak-pihak yang telah melakukan kesilapan dan kesalahan.
MAP mesti bertindak sebagai media untuk semua dan bukannya media untuk segelintir pihak yang berkenaan sahaja kerana natijahnya nanti akan menghancurkan negara yang kita cintai ini.
Sudah tiba masanya untuk pihak-pihak yang menerajui MAP meneliti semula program-program dan juga bahan-bahan yang dipaparkan oleh mereka. Program dan bahan yang berbentuk ‘jahiliah’ serta bertentangan dengan ajaran Islam sewajibnya dihapuskan dari dunia MAP khususnya untuk media yang menjadi pilihan khayalak muslim.
Peneraju MAP wajib menjadikan prinsip Iman dan Taqwa sebagai panduan untuk mereka merencanakan segala dasar dan polisi MAP agar minda generasi muda dapat dibentengi oleh iman dan taqwa. Ingatlah bahawa kebenaran akan sentiasa mengatasi kebathilan dan keuntungan sementara di dunia ini telah banyak menyesat serta merugikan manusia.
Hanya Allah (s.w.t) sahajalah penolong kita di dunia dan di akhirat nanti selagimana kita melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Janganlah biarkan diri kita dikenang sebagai salah satu faktor yang menyebabkan kemusnahan negara dalam buku sejarah cucu-cicit kita nanti. Insya’Allah.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.