ALASAN KARUT PENGASUH BAYI
METRO | KUALA LUMPUR: Akibat terlalu percayakan kepercayaan karut, seorang pengasuh bayi memberi alasan kononnya bayi berusia 13 bulan yang dijaganya meninggal dunia kerana diganggu roh jahat.
Pengasuh berusia 40-an itu turut mendakwa ibu bapa mangsa mengadakan majlis sambutan hari jadi anaknya yang boleh mengundang nasib malang.
Sumber polis berkata, bayi berkenaan, Lim Ji Tian, dihantar ke rumah pengasuh terbabit di Desa Aman, Kepong, kerana ibu bapanya bekerja sebagai eksekutif di sebuah bank.
“Berdasarkan laporan dibuat ibu bapa mangsa, mereka mendakwa terpaksa menyerahkan anaknya untuk dijaga pengasuh terbabit berikutan kesibukan dengan tugas harian,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa bayi itu bersetuju menghantar bayi mereka untuk dijaga pengasuh terbabit yang mendakwa kononnya pernah bekerja sebagai jururawat.
“Bagaimanapun, sekitar jam 7 malam kelmarin, pengasuh terbabit menghubungi ibu bapa mangsa untuk memberitahu anak pasangan itu demam panas.
“Si ibu yang bimbang segera memaklumkan kejadian itu kepada emaknya dan memintanya melihat keadaan bayi itu,” katanya.
Sumber polis itu berkata, nenek bayi berkenaan yang datang ke rumah pengasuh terbabit terkejut apabila mendapati cucunya dalam keadaan terbaring tidak bermaya.
Malah, mata bayi itu terbeliak dan nafasnya tersekat-sekat.
“Melihat keadaan bayi itu, neneknya membawanya ke sebuah hospital swasta untuk rawatan kecemasan,” katanya.
Difahamkan, setiba di hospital berkenaan, doktor mendapati suhu badan bayi itu terlalu tinggi iaitu mencecah 41 darjah Selsius.
“Doktor berusaha menyelamatkan bayi itu dengan memberikan rawatan kecemasan, namun gagal. Dia disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas dibawa ke hospital.
“Difahamkan, bayi itu demam sejak beberapa hari lalu, tetapi dibiarkan pengasuhnya tanpa dibawa mendapatkan rawatan doktor,” katanya.
Ibu bapa mangsa kesal kerana yakin bayinya dapat diselamatkan jika dibawa ke hospital secepat mungkin oleh pengasuh terbabit.
Mereka turut tidak berpuas hati alasan tidak logik diberikan pengasuh terbabit berhubung kematian bayi itu.
“Lebih memeranjatkan apabila suspek enggan meminta maaf, sebaliknya mendakwa bayi mereka mati berkait rapat dengan gangguan roh jahat,” katanya.
“Dia juga mendakwa majlis sambutan hari jadi pertama bayi itu adalah satu pantang larang yang boleh menyebabkannya ditimpa nasib malang,” katanya.
Berikutan itu, ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong untuk tindakan lanjut.
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.