WOODSTOCK MALAYSIA

Jika rakyat Iraq sedang berjuang untuk menuntut Amerika keluar daripada negara mereka, rakyat Pakistan pula sedang berjuang untuk menuntut Musharraf digulingkan dari kekuasaannya, rakyat China pula sedang berjuang untuk membangunkan negeri mereka selepas dilanda beberapa siri bencana alam dan rakyat Malaysia pula sedang berjuang untuk apa?

Jelik dan memualkan apabila rakyat Malaysia sekarang lebih sibuk membincangkan soal konspirasi pimpinan tertinggi. Sibuk memikirkan siapa yang benar dan siapa yang salah. Sibuk menyoal itu ini dan sibuk berkelahi sesama-sendiri semata-mata untuk memenangkan idealogi masing-masing.

Kita semua seolah-olah lupa dengan krisis kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang sedang membebani kehidupan kita.

Apa gunanya laungan pertumbuhan 6% setahun kalau kadar inflasi negara juga berada tahap itu? Apa gunanya gaji RM 3,000 sebulan kalau nilai sebenarnya hanyalah RM 600 sahaja. Jika dahulu pelabur luar sanggup menapak di negara ini kerana kos operasi di negara ini lebih murah berbanding negara jiran yang lain, kini keadaannya sudah berbeza.

Kos operasi sudah meningkat lebih 40%. Harga petrol, tarif elektrik dan kos buruh sedang membebani pelabur luar mahupun pelabur tempatan.

Sudah pasti kesannya amat buruk. Pelabur luar yang sudah sedia ada di negara ini sudah tentu akan menghadkan pelaburan mereka dan tidak mungkin mahu menambah pelaburan mereka lagi. Mereka tentunya sedang meninjau rantau lain yang mampu menjamin pulangan ke atas pelaburan mereka. Misalnya ke negara China, Vietnam, Indonesia mahupun India.

Apa yang perlu kita bimbangkan ialah mereka akan menghentikan operasi mereka di sini dan akhirnya makin bertambahlah bilangan penganggur terhormat di negara ini.

Memang menyedihkan apabila negara ini adalah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia tetapi bekalan untuk rakyatnya sendiri kekadang terputus juga dan harganya pula semakin mahal. Negara ini pengeluar minyak tetapi rakyatnya terpaksa membayar harga yang mahal juga. Ke mana hasil masyhur negara ini dibelanjakan?

Angka yang dikeluarkan dari mulut menteri itu lain, angka yang dikeluarkan oleh perbendaharaan negara lain dan angka yang keluar dari Dewan Rakyat lain. Yang mana satu rakyat nak percaya? Perlu diingat, angka tidak boleh ditipu tapi boleh dimanupalasikan.

Memang hebat dan gah setiap kali rancangan atau pelan pembangunan negara diumumkan kepada rakyat. Angkanya bukan kecik-kecik anak tapi akhirnya yang dipersalahkan ialah sistem penyampaiannya juga. Lagu sama juga yang akan diulang-ulang dan 1001 alasan akan disediakan.

Pihak itu salah, pihak ini salah dan yang terpaksa menanggung sengsaranya dah tentulah rakyat biasa yang tak tahu apa-apa. Bila rakyat mempersoalkannya, mulalah dikatakan rakyat tidak pandai dan tidak tahu bersyukur. Biarkan pakar-pakar ekonomi negara menyelesaikannya. Rakyat sepatutnya menerima saja keputusan kerajaan dan jangan sesekali mempersoalkan keputusan kerajaan. Kenyataan sebegini seolah-olah ingin membodohkan rakyat.

Apa gunanya rakyat memilih wakil mereka di Parlimen kalau ahli-ahli parlimennya terpaksa mengikut “party whip”? Apa gunanya ahli-ahli Parlimen terpekik terlolong mempersoalkan keputusan yang sudah diluluskan? Adakah Parlimen itu benar-benar menyuarakan suara hati rakyat atau sekadar menjadi “rubber stamp”?

Apa bezanya Dewan Rakyat di negara ini dengan Dewan Senat di Amerika yang ahli-ahlinya hanya mengikut saja telunjuk Bush? Kenapa kita tidak boleh membiarkan saja 222 ahli Dewan Rakyat kita berdebat dan mengambil keputusan yang betul tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang mengongkong tindakan ahli-ahlinya.

Bila membicarakan soal harga minyak dan kesannya kepada rakyat, ianya tidak boleh dipandang sebagai isu global, politik mahupun ekonomi semata-mata. Ianya perlu dipandang sebagai isu yang sangat dekat dengan rakyat. Persetujuan yang dibuat oleh 129 orang dalam Parlimen telah menyusahkan berjuta-juta rakyat di negara ini.

Itu adalah hakikat yang sepatutnya diakui oleh semua pihak melainkan mereka yang sudah kaya-raya. Dah tentu golongan yang kaya-raya ni tidak akan kisahkan pun isu kenaikan harga minyak ini.

Kerajaan perlu bersikap adil mengenai kritikan yang dilontarkan terhadap mereka berkenaan isu kenaikan harga minyak ini. Tidak semestinya mereka yang mengkritik itu adalah penentang kerajaan dan tidak semestinya mereka yang menerima keputusan itu adalah penyokong kerajaan.

Usaha pembangkang bersama beberapa NGO yang ingin menganjurkan himpunan 1 juta rakyat di Padang Timur PJ sepatutnya diizinkan tanpa mana-mana tekanan daripada pihak polis mahupun kerajaan. Biarkan saja mereka berhimpun kerana perhimpunan itu adalah medan untuk rakyat meluahkan ketidakpuasan hati mereka. Lagipun perhimpunan itu bukan seperti demonstrasi jalanan kerana mereka yang berhimpun di situ hanya akan bersantai seperti “woodstock” di US. Bezanya, mereka yang hadir di situ akan disajikan oleh persembahan pidato dan bukannya muzik keras seperti “woodstock”.

Sudah tiba masanya untuk rakyat di negara ini lebih matang dan berfikiran positif mengenai sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Jika tiada provokasi daripada mana-mana pihak, perhimpunan aman akan kekal aman. Perhimpunan yang dianggap aman pun boleh bertukar tidak aman jika terdapat sebarang provokasi. Maka, tanggungjawab pihak polis ialah menangkap mereka-mereka yang menimbulkan provokasi. Usahlah disekat lagi hak rakyat untuk berhimpun secara aman kerana sekatan yang berlebihan hanya akan merugikan pihak pemerintah di masa hadapan.
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Salam Sejatera. Ideologi yang bernas mencungkil simfoni kebenaran. Kebenaran yang terselit dalam artikel ini menjadi persoalan yang mencetus kesedaran. Tahniah dan Terima Kasih atas informasi dan fakta yang mengagumkan.

    Yang benar,
    Shaktthiaraj Pattan

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.