IBU SIBUK DENGAN POLITIK SAMPAI ANAK TAK PUAS HATI


 Sekadar Gambar Hiasan


SOALAN: Saya pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Pelajaran saya masih baik walaupun menghadapi masalah dengan keluarga terutama ibu.

Ibu menjalankan perniagaan sendiri dan sangat aktif dalam politik. Perkara itu menyebabkan ibu terlalu sibuk sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap kami adik-beradik. Ibu juga kurang memberi perhatian kepada bapa kerana terlalu sibuk dengan perkara itu.

Sebelum ibu terbabit dengan politik, kami mempunyai masa melakukan pelbagai aktiviti bersama seperti membeli- belah dan melancong. Kini semua itu sudah tiada kerana ibu lebih gila berpolitik dan keluarga sudah tidak penting lagi.

Saya risau memikirkan ibu yang sering marah apabila pulang dari perjumpaan atau mesyuarat politiknya. Saya tidak mahu tahu apa yang berlaku. Bagaimanapun, saya yakin ia kaitan dengan permainan politik terutama cantas-mencantas.

Kerisauan saya semakin memuncak apabila melihat banyak perkara yang tidak baik berlaku dalam dunia politik. Fitnah- memfitnah dan cantas-mencantas sering berlaku. Semua ini saya selalu baca di akhbar dan melalui televisyen.

Saya tidak tahu sama ada perkara itu benar, tapi saya berasakan dunia politik sangat kotor dan penuh penipuan.

Kesannya orang ramai menderita dan saya jijik dengan dunia politik. Rakyat menderita disebabkan permainan orang politik yang kadangkala berpura-pura.

Saya berharap ibu cepat sedar tiada gunanya dia menceburkan diri dalam politik kerana sering dipermainkan. Lebih baik dia beri saja perhatian kepada keluarga. Lagipun, adik-beradik saya masih bersekolah rendah dan menengah. Mereka memerlukan perhatian ibu.


Insan jijik dengan politik,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN: IBU adalah watak penting dalam perkembangan dan pembentukan sesebuah keluarga. Kasih sayang dan tanggungjawab ibu kepada anak sewajarnya berlaku sepanjang masa. Nilai ini sangat penting dalam penyatuan sebuah keluarga yang bahagia.

Nilai ini kemudian dipelajari dan dicontohi anak yang belajar melalui teladan.

Justeru, pengorbanan dan tanggungjawab ibu bapa sering menjadi keinginan dan keperluan anak dalam proses mereka menjadi individu dan anak yang sejahtera.

Seorang ibu yang menghabiskan terlalu banyak masa di luar berbanding keluarga akan menyebabkan anak dan suami berasa kurang penting serta diabaikan.

Diketepikan dan tidak mendapat kedudukan sewajarnya adalah satu perasaan yang menyakitkan.

Dalam hal ini, kedudukan adik dan bapa kini sudah diambil alih oleh perkara yang sangat diminati ibu iaitu politik. Ibu adik kini sudah tidak dapat memenuhi keperluan serta keinginan yang diharapkan oleh adik dan bapa.

Ibu sering membawa balik masalah dunia politiknya kemudian hilang kawalan terhadap diri dan keluarga. Memandangkan ibu sendiri yang memilih terbabit dalam politik, penting bagi ibu untuk bertanggungjawab atas segala kesan berpolitik, sama ada positif atau sebaliknya.

Ibu perlu bijak mengimbangi antara tuntutan diri dengan tuntutan orang yang rapat dengan dirinya terutama keluarga. Pemimpin atau ahli politik yang baik ialah mereka yang bijak mengurus masa dan emosi. Meletakkan keutamaan di tempat yang betul juga adalah ciri pemimpin yang baik.

Pandangan dan persepsi adik terhadap dunia politik dibina berdasarkan pengalaman hidup adik dengan ibu dan juga apa yang adik baca serta lihat di media selain dunia sekeliling. Berdasarkan beberapa peristiwa negatif pergolakan politik negara, adik menganggap dunia ahli politik jijik.

Kanak-kanak dan remaja banyak belajar daripada pemerhatian. Jika mereka sering melihat perkara negatif, mereka akan membina anggapan yang tidak baik mengenai perkara itu. Sama ada sesuatu perkara itu betul atau tidak, ia sudah tidak lagi penting.

Seseorang individu menyertai politik dengan pelbagai tujuan. Jika niatnya untuk menjadi pemimpin yang jujur dengan memberi keutamaan kepada rakyat serta pengundinya, individu itu akan menjadi ahli politik jujur dan pemimpin yang baik.

Ibu adik meminati politik dan sudah tentu dia tahu risiko menceburi bidang ini serta bersedia untuk memikul sebarang kesannya. Cuma, ibu adik perlu pandai mengawal diri dan emosi supaya tidak terbawa-bawa perasaan negatif apabila pulang ke rumah. Ibu perlu mempunyai nilai baik dalam berpolitik dan tidak terikut-ikut dengan amalan cantas- mencantas ini.

Adik boleh memberitahu ibu kerisauan adik. Bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang anak untuk memberitahu sifat tidak baik ibunya.

Adik perlu memberitahu kerisauan kepada ibu dengan berhemah sekali. Buangkan emosi dan berbincang secara rasional. Hormati ibu sewajarnya. Ibu perlu bijak mengimbangi antara perniagaan, minat berpolitik dan keluarganya.
Sumber asal: Harian Metro

"Jika anda berminat dengan artikel yang dimuatkan di blog ini, dapatkannya terus ke peti email anda. Klik je kat sini!"
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Salam Aflah. Ibu ni mungkin terlupa dia ada anak :P

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.