PELAN RAFIDAH TERUS DIPERTIKAIKAN!

Sehari selepas Wanita Umno memutuskan dua jawatan tertingginya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti Mac depan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tegas mempertahankan bahawa pelan peralihan kuasa pergerakan itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri, Mac depan.

Pada masa sama, ahli Exco pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim pula tetap dengan pendiriannya untuk bertanding Ketua Wanita, yang kini disandang Shahrizat.

Berikutan itu, Shahrizat yang mendapat 73 pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita, dijangka membuat satu pengumuman penting berhubung masa depannya dalam pergerakan itu dalam masa terdekat.

"Selepas menilai kenyataan Tan Sri (Rafidah Aziz), Kamilia, barisan kepemimpinan Exco, suara akar umbi dan perubahan dalam senario politik negara ketika ini, akhirnya saya perlu buat keputusan sendiri dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya semalam ketika diminta mengulas pendirian Kamilia untuk membelakangi keputusan mesyuarat Exco Wanita Umno kelmarin.

Dalam kenyataan dua perenggannya sebelum itu, Shahrizat menegaskan, beliau tetap dengan pendirian supaya pelan peralihan kuasa kepemimpinan Wanita Umno diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri pada Mac depan.

"Jika keputusan yang dibuat Ogos lalu diteruskan, ia akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan Mac depan.

"Seterusnya jawatan Ketua Wanita hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun, manakala jawatan Naib Ketua pula terpaksa dikosongkan. Ini merugikan kepimpinan Wanita Umno dalam senario politik hari ini," katanya.

Kelmarin, Rafidah yang memperoleh 117 pencalonan bagi mempertahankan jawatannya, mengumumkan pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu kekal pada Jun 2009, manakala jawatan ketua dan naibnya tidak akan dipertandingkan.

Ketua Wanita Umno itu menjelaskan, keputusan berkenaan dicapai selepas perbincangan mendalam demi perpaduan serta menguatkan parti dan Presiden kerana Wanita menjadi tulang belakang Umno.

Rafidah yang dihubungi menerusi SMS semalam, bagaimanapun enggan mengulas keputusan Kamilia kerana belum dimaklumkan mengenai perkara itu.

Kamilia ketika dihubungi sebelum itu menegaskan, mengikut Perlembagaan parti, Exco Wanita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kepemimpinannya kerana hak memilih pemimpin terletak di tangan ahli.

"Saya bukan hendak membelakangkan keputusan mesyuarat Exco Wanita tetapi pendirian itu dibuat kerana menghormati pencalonan akar umbi," katanya yang mendapat 54 pencalonan untuk bertanding Naib Ketua Wanita.

Kamilia juga menjelaskan, beliau sebelum ini dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco, termasuk kelmarin, kerana tidak bersetuju dengan pelan peralihan kuasa itu.

"Lagi pun, mesyuarat Exco kelmarin tidak mempunyai agenda khusus. Jadi saya anggap ia berkaitan pelan peralihan kuasa yang juga tidak wujud dalam Perlembagaan dan bukan amalan dalam parti. Malah, keputusan untuk menentukan peralihan kepemimpinan tidak semestinya mutlak," katanya.

Sumber: Berita Harian

Dah tahu tentang peraduan mudah ini? Jika belum, KLIK KAT SINI DULU!

Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

3 comments:

  1. UDAH LE KAK FIDAH OI... JAGA CUCU LER MIKE. USAH SEBUK2 BERPOLITIK DAH. UDAH TUA PUN. BUAT AMAL LER !

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Ada dugaan di setengah kalangan bahawa Rafidah berkeras tidak mahu berundur sehingga Jun 2009, kerana dia berharap akan dilantik semula sebagai menteri.

    Jika betul demikian, ini hanya agenda peribadi dan barangkali tidak perlu diberi simpati.

    Rafidah pun sudah terlalu lama menjadi menteri. Takkan hendak jadi menteri seumur hidup!

    ReplyDelete
  3. Kalau Rafidah berusaha meminta Pak Lah letak jawatan sebagai Presiden Umno dan PM pada Mac, 2009. Mengapa pulak dia tidak boleh berkorban untuk parti dan wanita dengan menyerahkan tampuk kepimpinan ketua wanita pada Sharizat pada mac,2009 jugak. Cakap tak serupa bikin-- suroh orang lain letak jawatan boleh tapi untuk diri sendiri tak apa. Janganlah jadi hipokrit Kak Pidah oooiii.

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.