Untold Story:Tuan Guru Nik Aziz


BUKAN mudah untuk menulis mengenai kisah di sebalik tabir atau untold story mengenai figura politik hebat seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Lebih-lebih lagi apabila pengalaman peribadi penulis bersama arwah amatlah terbatas jika dibandingkan dengan orang-orang yang berada dekat dengan Nik Abdul Aziz ketika hayatnya.
Kini, hampir seminggu Nik Abdul Aziz atau lebih senang dipanggil Tok Guru meninggalkan kita, cerita mengenai tokoh ini masih terus diperkatakan.
Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 12 Februari lalu kira-kira pukul 9.40 malam di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan akibat kanser prostat.
Seperti kebanyakan penyokong atau pengikut setianya, penulis juga cukup berminat untuk mengetahui siapa sebenarnya Nik Abdul Aziz dari kaca mata orang yang cukup rapat dengan arwah.
Peluang berinteraksi dengan bekas Setiausaha Politiknya, Anual Bakri Haron amat bermakna, terutamanya tatkala mengimbas kembali perjalanan hidup tokoh politik dan agamawan yang cukup disegani itu.
GEMAR MENDUGA
Walaupun penuh berhati-hati menyusun jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan, Anual Bakri begitu rancak bercerita mengenai pengalaman bersama bekas ‘bosnya’ itu.
"Yang menyenangkan saya ialah Tok Guru seorang yang tidak cerewet. Beliau seorang pendengar yang tekun, peneliti yang tajam memerhati dan seorang yang memberi tunjuk arah yang jelas tentang apa yang dimahunya.
"Jarang sekali beliau tidak jelas. Mahir sekali beliau menilai kekuatan yang ada pada seseorang dan cermat sekali beliau menyerahkan tugasan mengikut keahlian yang dimiliki oleh seseorang itu berdasarkan bacaannya,” ceritanya kepada mStar Online.


Anual Bakri Haron
 
Buktinya menurut peminat seni budaya dan penulisan yang dikenali ramai menerusi nama penanya, Anbakri, sepanjang 10 tahun berkhidmat di Pejabat Menteri Besar Kelantan, jarang sekali beliau gagal menyempurnakan tugas yang diamanahkan.
Sungguhpun begitu, menurutnya, Nik Abdul Aziz juga seorang yang gemar menguji dan menduga pembantunya, terutama bagi mendapatkan pandangan mengenai sesuatu isu penting.
Jelasnya, bekas Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun itu sentiasa terbuka untuk menerima pandangan walaupun adakalanya beliau sudah mempunyai penilaian tersendiri.
"Kesukaran boleh muncul apabila beliau adakalanya berteka-teki, seakan menguji atau menduga sikap peribadi kita terhadap sesebuah isu.
"Mungkin beliau sudah ada lakaran ideanya yang tersendiri tetapi beliau cuma mahu memancing respons saya. Mana tahu ada kelainan yang mungkin dapat memperkayakan lagi sudut dan perspektif.” katanya.
PRIHATIN
Mengimbas kembali ketika terlibat dalam membantu pemimpin disegani ramai itu membuat keputusan, Anual Bakri berkata, beliau pernah dinasihatkan supaya tidak menghiraukan pandangan orang luar mengenai tugasnya kerana Mursyidul Am PAS itu cukup prihatin dengan ‘beban’ yang dipikulnya terutama jika ia memberi kesan yang cukup besar.
Sebagai contoh, kata Anbakri, beliau pernah diminta untuk menyemak personaliti seseorang sewaktu Nik Abdul Aziz berada di tengah-tengah keresahan untuk melantik atau mengangkat 'orang ini’ ke jawatan tertentu yang tidak dinamakannya.
"Ini cukup sulit kerana saya sering disalah tafsir. Tak disempurnakan, ini arahan. Jika disempurnakan, maka kita akan terlibat dengan memberi input yang cukup penting dalamdecision making process.
"Rata-rata orang ramai tidak tahu tentang ini. Bagi yang tahu, mereka akan buat pelbagai andaian. Setpol (setiausaha politik) yang  pandai-pandai  dot…dot...dot. Sedangkan saya cuma menjalankan tugas,” terangnya.
Bagaimanapun menurutnya, masih kukuh dalam ingatannya kata-kata nasihat Nik Abdul Aziz memujuk beliau supaya tabah mengharungi tugasnya itu.
"Apabila Tok Guru melihat keadaan saya yang agak risau dan beliau sempat membaca isyarat body language saya itu, beliau lalu bertanya dan saya beritahu latar belakang perkembangan ini.
“Beliau pernah memujuk, 'tok soh dok cagholah. Ini amanah ambo ko anta. Anta telah menjalankan amanah, susoh apo?’ (Jangan ambil kisah. Ini amanah saya kepada anda. Anda telah menjalankan amanah, mengapa susah (hati)?” imbas Anual Bakri.
TELITI
Sebagai ketua keluarga, wakil rakyat, menteri besar, ulama, tentunya ramai yang tertanya-tanya mengenai pendirian atau pendekatan sebenar yang digunakan arwah dalam membuat keputusan.
Menurut bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ini, jarang sekali lagenda politik yang gemar membaca itu tidak memahami masalah atau isu pokok yang perlu ditanganinya.
Anbakri di sebelah Tok Guru yang turun padang pada majlis pelancaran buku.
"Dalam banyak hal beliau tidak bermula dengan ‘kosong' ketika mendekati masalah. Di dalam kepalanya saya seakan-akan dapat merasakan yang Tok Guru sudah ada kerangka kasar sebelum beliau cuba-cuba meninjau pandangan untuk mencari ketepatan dalam membuat keputusan.
“Melainkan...ya melainkan pandangan balas yang kita kemukakan itu bersifat mencanggahi peraturan atau sebarang undang-undang bertulis.
"Bila kita jelaskan mengenai aspek ini, seringkali beliau boleh berpusing 360 darjah. Beliau akan lebih teliti mendengar akan bacaan kesan dan unjuran implikasi. Jika beliau yakin lontaran pandangan balas sebegini mempunyai justifikasi kukuh, beliau bersedia untuk 'turn the table’ dari segi mengubah keputusan  awal yang mungkin telah kejap,” katanya penuh teliti.
KONTROVERSI
Ramai yang melihat kontroversi dalam politik sebagai idea murahan untuk meraih populariti khususnya jika ia dicetuskan oleh pemimpin ‘suam-suam kuku’ yang hampir dilupakan.
Namun harus diakui bahawa kontroversi mampu memberi political mileage kepada individu atau pihak yang mencetuskannya walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.
Bagi Anual Bakri sendiri, kontroversi yang melingkari Nik Abdul Aziz dilihat sebagai ujian kepadanya sebagai setiausaha politik.
"Dalam banyak hal ia (kontroversi yang timbul) tidak dirancang. Terkadang saya juga seakan terasa terperangkap. Tak tahu yang beliau nak cakap dan berpendirian begitu. Saya pernah juga terkejut. Terdetik dalam hati…sudah, dahlah kali ini. Meletup pulak dah!
Gambar kenangan pada 2012, Tok Guru bersama Anual Bakri dan isterinya Ruhana Mohd .
“Apapun, di sinilah letaknya cabaran ke atas ketangkasan seorang pembantu. Ia menarik kerana menguji ketrampilan seorang setiausaha ketika diasak bermain keris,” katanya yang berpegang kepada fakta yang tidak boleh disangkal berikutan kejayaan Nik Abdul Aziz bertahan sehingga menjadi pemimpin Islam ke-42 popular di dunia.

Bagaimanapun beliau melihat kontroversi yang dicetuskan Nik Abdul Aziz secara tidak terancang itu sebagai ‘marketing’ kepada gerakan Islam yang diperjuangkan PAS.

“Saya perhatikan walau apapun kejutan hasil kontroversi yang dicetus atau tercetus hingga berlakunya pergelutan di pentas politik negara, pada akhirnya ia berpihak kepada kemenangan atau sekurang-kurangnya memberi mileage kepada gerakan Islam.

"Dengan membeli isu lalu menjinakkannya, beliau telah membuat marketing dengan cara membuktikan yang Islam mampu menawarkan formula dan penyelesaian ke atas setiap apa yang mungkin dilihat kebuntuan oleh massa,” katanya.

BERDIKARI
Walaupun bergelar seorang menteri besar, Nik Abdul Aziz yang ternyata mempunyai kekuatannya tersendiri itu dalam pelbagai aspek pada dasarnya memilih untuk bersederhana dalam apa jua tindakannya.

Bercakap mengenai protokol untuk berurusan dengan pemimpin nombor satu Kelantan itu, jelas ketika hayatnya pemimpin PAS itu tidak suka menjadikan perkara berkenaan sebagai jurang pemisah.

"Saya hanya boleh katakan begini. Beliau tidak rigid berprotokol tetapi tidaklah pula beliau tidak pentingkan protokol. Penentuan protokol biasanya 'dipulangkan balik' kepada pihak yang berurusan dengan beliau.

"Baik yang menyentuh pakaian, adab berbahasa, cara duduk dan berdiri, bila patut bercakap atau bila pula perlu diam. Ini semua pada saya adalah protokol,” katanya.

Tambahnya lagi, Nik Abdul Aziz juga gemar melakukan sendiri pelbagai perkara tanpa menyusahkan pegawai dan pembantunya.

"Beliau suka berdikari. Dalam hal-hal mengangkat letak sesuatu yang dikira mudah, seboleh-bolehnya beliau akan melakukannya sendiri.

“Beliau jarang benar minta saya lakukan itu dan ini. Apa yang selalu berlaku ialah beliau akan lakukan apa saja jika ianya senang dan boleh di selesaikan menggunakan kudrat kaki tangannya sendiri,” katanya.

PERSONALITI

Tidak keterlaluan jika penulis sifatkan Nik Abdul Aziz sebagai ‘wajah politik negara’ kerana pengabdiannya dalam bidang ini sejak 1967 begitu memberikan kesan kepada landskap politik Malaysia.
Maka dengan itu, timbul tanda tanya bagaimana beliau mampu mengekalkan popularitinya di arena ini khususnya di kalangan rakyat Kelantan yang begitu menghormati beliau.
Sesuatu yang jelas, keistimewaan yang dimiliki Nik Abdul Aziz ialah beliau berjaya menggarapkan sifat dan keperibadian Rasulullah SAW dalam amalan sehariannya.
"Pada saya beliau teliti membancuh personaliti. Ikon beliau ialah Rasulullah SAW. Sungguhpun beliau bercerminkan Nabi junjungan besar kita, tetapi ia tidak pernah menyekat beliau untuk menyesuaikan idea itu dengan nilai tempatan.
"Ini perkara payah tetapi Tok Guru membuktikan yang beliau mampu melakukannya. Contohnya dalam keadaan Tok Guru berbaju Melayu, beliau masih memilih untuk berserban. Apabila ditanya kenapa berserban maka jawabnya ini meniru Nabi. Bila ditanya kenapa berbaju Melayu, maka jawabnya ini pakaian pahlawan,” terang Anual Bakri lagi.
Malah, beliau melihat Nik Abdul Aziz juga secara kebetulan berjaya memenuhi harapan orang Islam dan Melayu secara khusus serta seluruh rakyat Malaysia walaupun terdapat perbezaan agama, kepercayaan, warna kulit mahupun etnik.
Buktinya, pemimpin itu berjaya mengemukakan beberapa pandangan ketika berhadapan dengan cabaran yang secara tidak langsung mengangkat keupayaan Islam menjadi alternatif kepada sistem pentadbiran yang diamalkan di negara ini.
Dan sesungguhkan setiap langkah dan detik bersama insan bernama Nik Abdul Aziz itu begitu berharga hinggakan pernah dilaporkan Tok Guru berkata: "Saya sayangkan Anual Bakri Haron kerana dia banyak bukukan ucapan saya."
Bagaimanapun pada 2009 segalanya berakhir dan Anual Bakri meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada anaknya yang berhadapan masalah kesihatan.
Beberapa bulan selepas itu, terhasil karya menceritakan perjalanan hidupnya sehingga dianggap sebagai korban pergolakan politik PAS menerusi buku separa biografi yang ditulis oleh seorang wartawan dikenali dengan nama pena Kalamutiara.
Buku terbitan syarikat e-sastera itu berjudul Bukan Sekadar Benar Atau Salah banyak mendedahkan apa yang berlaku di sebalik tabir politik bekas menteri besar Kelantan itu. Beberapa maklumat yang jarang-jarang diketahui juga 'didedahkan' melalui buku berkenaan, termasuk beberapa kelaziman Nik Abdul Aziz sebagai manusia biasa.
Di samping itu, memetik kata-kata Anbakri menerusi karyanya berjudul 'Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat' pula, tokoh politik dan ikon ulama itu digarap sebagai seorang yang berjaya memerdekakan peranan ulama yang selama ini hanya terhenti di laman surau dan masjid.
Lebih menarik Nik Abdul Aziz dilihat berjaya keluar dari lingkaran konvensi atau tradisional dan meninggalkan pemikiran serta perspektif tokoh politik lain jauh ke belakang.
Dan ketika mengintai laman Facebook Anbakri pada tarikh suram 13 Februari lalu, walaupun ringkas nukilannya ia tetap menyentuh hati: "Dari tahun 1999-2009:Sepanjang tak kurang 10 tahun kami telah ditaqdirkan bersama. Dari Allah kita datang.Kepada-NYA jua kita kembali.Al-Fatihah seikhlasnya sumbangsih terakhir buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat."
Sumber: MSTAR
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.