Suhaizan pro Pakatan, anak TGHH bakal cabar ketua Pemuda PAS?
Muktamar PAS pada Jun akan menyaksikan jawatan ketua pemudanya yang kini dipegang Suhaizan Kaiat bakal dicabar Mohd Khalil yang merupakan anak kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Suhaizan dikatakan tidak disenangi dengan pendekatan "politik budiman" yang dilihat lebih tunduk kepada Pakatan Rakyat (PR) selain kurang mempertahankan presiden PAS apabila menerima serangan, lapor Berita Harian yang memetik sumber.
"Hampir pasti Suhaizan akan dicabar, politik budiman yang dibawanya gagal selain dilihat lebih tunduk kepada PKR dan DAP daripada membela kepimpinan parti sendiri.
"Sekarang ada penolakan kepada kepemimpinan Suhaizan oleh ahli Pemuda khususnya di beberapa negeri seperti Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Kedah.
"Muktamar kali ini dilihat cukup sengit bagi DPPP (Dewan Pemuda PAS Pusat)," kata sumber itu kepada Berita Harian.
PAS akan mengadakan muktamarnya pada Jun ini berserta dengan pemilihan kepimpinan parti bagi sesi 2015-2017.
Minggu lalu, tersebar rakaman audio yang dikatakan ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mahu menafikan kepimpinan Hadi menjelang pemilihan parti beberapa bulan dari sekarang.
Awal bulan lalu juga, Pemuda PAS Kuantan mendesak Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan "kumpulan konspirasinya" supaya meletakkan semua jawatan di dalam parti ekoran kerjasama ingin menjatuhkan Hadi dan kepimpinan ulama.
Semalam, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mendakwa wujud kelompok yang dilabelkan "barua" di kalangan ahli PAS.
Katanya, ketaatan kelompok "barua" itu lebih wala' (taat setia) kepada PR berbanding kepada parti Islam itu sendiri.
Kenyataan itu dibuat berikutan kelompok yang bukan saja berusaha memecahbelahkan PAS, malah cuba memisahkan pemikiran Hadi dengan arwah ayahnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Lebih kurang 5 tahun dahulu saya pernah menulis satu artikel kontroversi yang bertajuk 'Kerja-kerja bodoh dalam PAS' sewaktu arwah ayah saya berada di Makkah.
"Ia menjadi kecoh di seluruh negara sehinggakan ada pihak menelefon arwah ayah supaya mengarahkan artikel saya ditarik balik.
"Sebenarnya tujuan artikel itu ditulis ialah bagi memberi gambaran kepada semua ahli PAS terhadap kewujudan usaha memisahkan golongan ulama dan golongan profesional dengan pelbagai cara, termasuk lemparan fitnah 'Kerajaan Perpaduan' terhadap presiden PAS," katanya kepada Sinar Harian.
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.