Bila melihat pelajar universiti Iran merusuh dan berdemo untuk memperjuangkan perubahan, saya bertanya pada diri ini; perubahan apakah yang mereka mahukan?
Adakah dengan perletakan jawatan Ahmadinejad, maka perubahan sudah dilaksanakan? Adakah dengan mengadakan pilihanraya baru, maka perubahan sudah dimulakan? Tentu sekali jawapan untuk persoalan itu amat subjektif dan panjang untuk dihuraikan.
Suatu ketika dahulu, kita dapat menyaksikan; bagaimana George Bush yang kejam itu telah digantikan dengan susuk tubuh separa hitam yang bernama Barrack Obama.
Seluruh dunia meraikan berita itu sebagai satu kejayaan besar. Jelas sekali kalimah keramat “Change” telah berjaya memukau minda kita semua untuk turut meraikan berita itu.
Negara kita juga terkena tempiasnya. Di sana-sini, masyarakat kita begitu asyik membincangkan ‘perubahan’. Terlalu banyak perkara yang mahu diubah sehingga kekadang kita terlupa untuk memikirkan; yang sebenar-benarnya, perubahan apakah yang kita mahukan?
Nah! Sekali lagi kita bertemu dengan satu soalan yang boleh dijawab dengan pelbagai jawapan.
Orang UMNO dan BN ada jawapan mereka sendiri untuk soalan itu. Orang PAS dan Pakatan Rakyat juga begitu. Kesemua jawapan mereka itu boleh dikatakan betul, tidak ada yang tidak betul, melainkan betul sahaja. Lalu, jawapan siapakah yang paling betul?
Kalau ditanya pada orang Islam, tentu sekali mereka akan sepakat menjawab, “Jawapan yang paling betul sudah ada di dalam Al-Quran dan juga Sunnah Muhammad SAW”.
Malangnya, kita hanya sepakat setakat itu.
Selepas itu kita mula berpecah-belah kerana berbeza fahaman dan ideologi perjuangan. Kumpulan A akan berkata jawapan mereka lah yang paling betul dan kumpulan B pula akan berkata, jawapan mereka lah yang paling betul. Masing-masing mempunyai nas dan dalil untuk mempertahankan hujah masing-masing.
Akibat ketaksuban dalam menyokong hujah kumpulan masing-masing, maka kita mula berpecah dan terus berpecah. Malah ada di antara kita yang sanggup bersengketa dan berperang sesama saudara sendiri. Inilah realiti yang sedang berlaku di negara kita dan juga di negara Islam yang lainnya.
Perpecahan ini tidak akan terjadi jika kita semua sedar; bahawa perubahan yang mesti kita tuntut adalah perubahan yang Allah tuntut dari kita semua.
Lantaran itu, apa yang Allah SWT tuntut dari kita semua?
Perubahan pertama yang mesti kita lakukan adalah dengan merubah diri kita sendiri. Jika selama ini kita sering ingkar pada perintahNya, maka kita perlu berubah menjadi seseorang yang sentiasa patuh pada segala perintahNya. Jika selama ini kita sering tewas pada pujuk rayu nafsu dan syaitan, maka kita perlu belajar untuk mengatasi godaan itu.
Perubahan kedua yang mesti kita lakukan adalah pada ahli keluarga kita sendiri. Adakah selama ini ahli keluarga kita selalu mengabaikan perintah Allah? Jika ya, maka kita harus berusaha untuk membimbing mereka supaya kembali taat pada perintah Allah. Jika sebelum ini kita sering berjemaah di hadapan kaca tv, maka selepas ini, bersama-samalah kita berjemaah untuk mendapatkan redha Ilahi.
Perubahan ketiga yang mesti kita lakukan adalah dengan mengubah masyarakat sekeliling kita supaya menjadi masyarakat yang taat pada perintah Allah. Untuk mengubah masyarakat kita, kita memerlukan dasar dan polisi yang mampu untuk memandu masyarakat kita ke arah kebenaran.
Sebelum itu, lihatlah dahulu apa yang sedang berlaku pada masyarakat kita hari ini. Amalan seks bebas serta ketagihan arak dan dadah sudah menjadi perkara biasa. Kes kecurian dan ragut semakin berleluasa. Kes rasuah dan penyelewengan kuasa seakan tiada noktahnya. Inilah bencana yang biasa terjadi di mana-mana jua negara yang membela golongan sekularis.
Mujurlah negara ini mengamalkan sistem demokrasi. Melalui sistem ini, kita diberikan hak untuk menyuarakan pandangan kita tentang dasar apa yang perlu dilaksanakan di negara ini. Gunakanlah hak ini dengan sebaik-baiknya. Pilihlah calon yang benar-benar layak untuk memikul tugas berat ini. Gunakanlah mata hati kita untuk menilai; parti apakah yang mampu melaksanakan amanah ini.
Insya’ Allah, jika kita sentiasa istiqamah dan ikhlas untuk melaksanakan segala tuntutan Allah, maka hidayah dan rahmatNya akan melimpahi jua diri kita, masyarakat kita dan negara kita.
1Malaysia, Islam Didahulukan, Amanah Diutamakan!Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak; kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya. [Riwayat Muslim]
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.