PENGKID itu apa?
"PENGKID itu apa? Bahasa apa tu?" Itulah persoalan dalam satu diskusi e-mel yang membuat saya tertawa baru-baru ini. Ketika itu si penyoal baru terbaca tentang pengharaman pengkid oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 Okt 2008. Tetapi dia dari generasi matang sikit, jadi dia terpaksa mencari kepastian tentang maksud perkataan "pengkid".
Tapi, walaupun kenalan saya ini tiada latarbelakang dalam etimologi perkataan "pengkid", namun dia amat memahami proses perundangan Islam di Malaysia.
Dia menjelaskan, sesuatu fatwa yang dikeluarkan pada peringkat pusat perlu diluluskan pada peringkat negeri. Selagi ia belum diluluskan pada peringkat negeri, ia hanya bertaraf pandangan atau nasihat.
Tetapi apabila diluluskan pada peringkat negeri dan diwartakan, maka ia akan membawa kuasa undang-undang. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah untuk mengingkari atau mempersoal fatwa yang sudah diwartakan.
Jadi saya pun merasa bersalah, memandangkan saya mentertawakan satu isu yang mempunyai natijah yang serius. Tapi macam mana tak tertawa? Bagi saya, isu ini sebenarnya diselubungi dengan kekeliruan dan prasangka. Ada dua lapisan yang perlu dikupas untuk mencernakan isu ini: apa itu pengkid dan apa itu fatwa?
Apa itu pengkid?
Saya rasa belum ada ijmak tentang maksud sebenar perkataan ini. Ada yang berkata ia bermaksud "wanita yang menyerupai lelaki". Tetapi apa pula yang dimaksudkan dengan wanita yang "menyerupai" lelaki? Suka bermain futsal? Berambut pendek? Suka menggaru celah-celah kangkang bila tidak diperhatikan? Bermisai? Kalau maksudnya yang terakhir ini, kesianlah dia. Terpaksalah dia menjalani proses elektrolisis gara-gara mematuhi fatwa.
Ada pula yang berkata ia merujuk khususnya kepada wanita lesbian. Tetapi, maaflah kalau tersilap tatabahasa, lesbian ada banyak macam. Ada lesbian yang memperagakan sifat-sifat maskulin. Tetapi ada pula lesbian yang mempunyai ciri-ciri yang sangat feminin, contohnya watak Carol dalam siri komedi Friends.
"Lesbian" merujuk kepada orientasi seksual seorang wanita: dia bernaluri romantis dan seksual terhadap wanita lain, bukan lelaki. Naluri ini tetap akan wujud sama ada dia berambut panjang atau pendek, berkasut tumit tinggi atau berkasut bola, bertudung atau tidak.
Mungkin pula istilah pengkid dikhaskan kepada wanita yang "menyerupai lelaki" dan bernaluri lesbian. Lesbian yang berciri-ciri feminin pula dipandang sebagai mangsa, yakni wanita normal yang tersesat seketika. Contohnya seperti "pengakuan artis" yang dimuatkan dalam majalah Media Hiburan, edisi 12-18 Julai 2008. Artis tanpa nama yang membuat pengakuan ini berkata bahawa dia sebenarnya mempunyai teman lelaki, Jay. Saya teka Jay ini lelakilah, tapi mana tahu? Bahasa Malaysia kan gender neutral?
Tetapi Jay selalu ke luar negara dan tidak memberi tumpuan kepada si artis tanpa nama ini. Jadi si artis ini terus menjalinkan hubungan dengan seorang pengkid, Lin. Si artis berkata: "Bukan tiada jejaka yang cuba memikat hatiku, tapi aku sudah menutup pintu hatiku terhadap insan yang bernama lelaki."
Kesimpulannya: "[A]ku tidak boleh berpisah lagi dengan dua insan ini (Jay dan Lin) walaupun perbuatanku ini dikutuk dari segi agama dan masyarakat."
Nauzubillah. Saya tidak akan komen banyak tentang simbol-simbol pseudo-Freudian dalam cerita ini: apabila kaum lelaki cuai, maka teman wanita atau "hartanya" akan terus disapu oleh mereka yang mencabar kejantanannya. Saya pun tak pasti sama ada Majlis Fatwa Kebangsaan pernah merujuk kepada Freud.
Apa itu fatwa?
Pada zaman kegemilangan Islam, sesuatu fatwa itu sebenarnya tiada kuasa perundangan. Fatwa itu bersifat pendapat peribadi seorang mufti, dan merupakan nasihat pakar kepada seseorang yang bertanya tentang sesuatu isu. Benar, para mufti amat dihormati dan dikagumi sebagai pakar runding undang-undang syariah, tetapi proses perundangan tetap dilaksanakan oleh mahkamah yang diterajui oleh kadi.
Sesuatu fatwa boleh digunakan oleh seorang litigan untuk mempertahankan kesnya, tetapi kadilah yang membuat keputusan muktamad. (Maaf, saya rujuk kepada penulisan sendiri: macam masuk periuk angkat sendiri.)
Bukan itu saja. Pihak yang memohon fatwa sebenarnya ada pilihan: kalau dia tidak suka fatwa dari Mufti A, dia boleh meminta fatwa dari Mufti B. Dia boleh menjalani proses ini sampailah dia memperolehi fatwa yang dirasakan paling sesuai untuk keadaannya.
Melembagakan institusi mufti dan mewartakan fatwa sebagai undang-undang, seperti yang berlaku di Malaysia, merupakan satu fenomena negara bangsa moden. Dan ciri-ciri institusi ini amatlah berbeza dari negara ke negara. Contohnya, di Lubnan, penyandang jawatan mufti besar ditetapkan melalui proses pemilihan oleh seluruh komuniti Sunnah.
Di Mesir, mufti besar dilantik oleh presiden republik tersebut, dan jawatan ini dikenakan syarat umur persaraan. Mufti juga perlu bertanding dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikh Universiti Al-Azhar. Malah, mufti dan Sheikh sama-sama menyemak dan mengimbang pengaruh masing-masing.
Di Malaysia, Sultan di setiap negeri akan melantik mufti masing-masing. Mufti di peringkat negeri menerajui jawatankuasa fatwa negeri, dan hanya mufti yang berhak menasihati Sultan tentang hukum syarak. Hanya Sultan yang berkuasa untuk memecat mufti.
Tapi sistem manakah yang ideal? Susah untuk dibincangkan, memandangkan isu ini dikira sebagai "isu sensitif": sebarang perbincangan terbuka mungkin mengundang pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
Balik kepada isu fatwa pengharaman pengkid, memanglah fatwa akan dikeluarkan setiap kali umat Islam ada pertanyaan atau keraguan. Malah pada 29 Okt 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan berkata ia akan mengumumkan fatwa tentang umat Islam yang mengamalkan senaman yoga.
Masa saya di bangku sekolah menengah saya pernah diberitahu oleh seorang teman bahawa senaman yoga adalah haram. Katanya, yoga melibatkan pengosongan minda dan ini dilarang sama sekali oleh Allah swt. Saya tidak gemar berspekulasi, tetapi kalau begitu saya hairan pula tiada fatwa tentang parti politik. Ramai juga ahli parti politik yang saya kira mempunyai minda kosong.
Jenayah tetap jenayah
Majalah Bintang Hit, Julai 2008 Umat Islam sering diingatkan supaya jangan menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal. Jenayah tetap jenayah, dan perlu dihukum. Saya setuju. Contohnya, isu perogolan gadis-gadis Penan di Sarawak. Kes ini perlu disiasat segera dan mereka yang bersalah dihadapkan di mahkamah.
Tetapi isu fatwa, terutamanya terhadap isu-isu yang kompleks seperti identiti seksual dan sebagainya, lebih rumit daripada itu. Sebab kalau kita lihat, bukan semua umat Islam memandang mereka yang mempunyai identiti seksual yang berlainan sebagai "ancaman" atau "gejala".
Legenda rock tanahair, Awie, membawa watak mak nyah dalam filem Apa Kata Hati, arahan Saw Teong Hin. Dalam wawancaranya dengan majalah Mangga, Julai 2008, Awie langsung tidak mengecam golongan mak nyah, malah mengaku: "Demi watak Sofi, saya juga sanggup mengorbankan misai yang saya sayang ini."
Seorang lagi bintang popular, Dafi, berkata bahawa dia tidak akan membawa watak mak nyah, tetapi bukan kerana dia membencikan mak nyah. Katanya: "Bukan apa, sekarang ni pun dah ramai pelakon yang bawakan watak sebegitu."
Dalam erti kata lain, Dafi dan Awie ialah lelaki maskulin dan itulah fitrah mereka. Tetapi mereka tidak pula menggunakan kejantanan mereka untuk menghukum mereka yang berlainan identiti seksual.
Malah, imam Feisal Abdul Rauf dari Amerika Syarikat berkata, undang-undang Islam sebenarnya menekankan budi bicara dalam isu seksual, dan sebenarnya tidak menyimpan dendam kesumat terhadap golongan gay atau lesbian. Majlis Fatwa Kebangsaan pula tetap mendakwa bahawa golongan pengkid "melanggar tabii serta fitrah dan dalam Islam jelas tidak boleh."
Pandangan siapa yang betul? Imam Feisal atau majlis fatwa? Bagi saya, kedua-dua pihak perlu berdialog secara terbuka, dan rakyat Malaysia secara amnya perlu melengkapkan ilmu majlis fatwa tentang realiti masyarakat.
Oleh : Shanon Shah, (The Nut Graph)
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.