Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Zull Aznam Harun berkata, pengantin yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu dikenali sebagai Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, seorang jurutera.
Turut terbunuh ialah ibu bapa Mohd Ariff iaitu Abdul Kadir Awang, 53, dan Aspah Osman, 58 serta seorang jurugambar, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd Ariff.
SEBAK ... Isteri mangsa kemalangan yang baru empat jam diijabkabul, Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23 ketika tiba di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, semalam.
Katanya kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang menetap di Taman Melati Indah dekat sini sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit, Kedah.
Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian manakala 27 penumpang serta pemandu bas yang datang dari arah bertentangan menghala Kangar tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zull Aznam berkata kereta yang dipandu Abdul Kadir, seorang pesara pembantu makmal Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, dipercayai pancit tayarnya menyebabkan kenderaan yang sedang menghala arah Beseri itu tidak dapat dikawal lalu bertembung dengan bas pesiaran yang membawa pelancong dari Selangor itu.
"Kami masih menyiasat punca kejadian. Pemandu bas itu juga telah direkodkan kenyataannya," katanya semasa ditemui di rumah mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi rumah mayat hospital itu apabila dibanjiri ratusan sanak saudara mangsa manakala di rumah mangsa di Taman Melati Indah turut dipenuhi orang ramai.
Kerja-kerja gotong royong untuk mendirikan khemah kenduri untuk majlis perkahwinan Mohd Ariff dan pasangannya, Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23, dibatalkan.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin yang merupakan jiran kepada mangsa berkata kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit dan majlis kenduri perkahwinan Mohd Ariff dijadualkan Ahad ini. [BERNAMA]
Kisah Berkaitan :
Tiga mati terbakar lori minyak rempuh rumah
Kemalangan pada jam 9 pagi itu berlaku ketika lori tangki yang dipandu oleh Shamsulkahar Bahudin, 36, dalam perjalanan dari Port Dickson untuk menghantar bekalan minyak di Kuala Klawang, menghadapi masalah brek di kilometer 13 ketika sedang menuruni jalan Seremban-Simpang Pertang di Bukit Tangga.
Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Setapa Yusoff berkata semasa melalui satu selekoh di kilometer 18, lori tangki itu merempuh sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang diletak di tepi jalan sebelum terbabas ke bawah dan merempuh sebuah rumah kampung yang didiami oleh seorang balu dan dua anaknya.
Lori itu terbalik lalu terbakar tetapi Shamsulkahar, yang berasal dari Melaka, sempat keluar dari kenderaan itu namun dia menghembuskan nafas terakhir di tepi rumah itu dengan kesan terbakar di bahagian pinggang ke bawah.
Sementara itu, Mohd Hafiz Hanapiah, 7 dan kakaknya, Anisah, 14, yang dipercayai sedang tidur semasa kejadian, tercampak akibat rempuhan kuat ke dinding bilik mereka.
Mayat Shamsulkahar ditemui pada jam 10 pagi manakala mayat Mohd Hafiz dan Anisah pula ditemui dalam keadaan rentung di bawah timbunan batu kira-kira 20 minit kemudian, kata Ketua Balai Bomba Jelebu Adzhar Che Onn.
Beliau berkata akibat kemalangan itu, lori terbabit meletup dua hingga tiga kali dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa satu jam setengah untuk memadamkan api.
Adzhar berkata ini merupakan kemalangan kedua yang membabitkan rumah yang sama kerana kira-kira lima bulan lepas, sebuah lori membawa kepingan getah terbabas lalu merempuh bahagian dapur rumah itu tetapi tiada sesiapa yang cedera.
Rumah milik Mariani Cembeng, 45, itu runtuh sepenuhnya tetapi menurut penduduk kampung, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana menghadiri kursus keusahawan di bandar Kuala Klawang.
Suami Mariani meninggal dunia dua tahun lepas. Dua lagi anaknya yang sudah dewasa tidak tinggal di situ - seorang bekerja di Kuala Lumpur dan seorang lagi menuntut di sebuah politeknik dekat Port Dickson.
Selepas kejadian, seorang lelaki berusia awal 20-an dipercayai salah seorang abang kepada adik beradik yang meninggal itu dilihat mengamuk dan terpaksa ditenteramkan oleh penduduk kampung serta rakannya yang lain.
Seorang jiran kepada keluarga malang itu, Azuman Abu Bakar, 35, memberitahu pemberita, dia sedang tidur di rumah apabila terdengar jeritan ibunya.
"Rumah Maria terbakar, rumah Maria terbakar," katanya.
Api naik setinggi pokok kelapa dan ada letupan menyebabkan orang kampung tidak dapat menghampiri rumah itu, kata Azuman. - Bernama
Nur Aflah: Artikel ini dikategorikan "peringatan buat semua"
Jika anda berminat dengan artikel di blog ini, Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini
Al-Fatihah... berkawan lama dia orang ni dari sekolah lagi. Tapi Allah swt lebih sayangkan si lelaki, pabila dia bergelar suami.
ReplyDelete