DR ASRI ADA AURA ANWAR?

Saya tidak mahu mengulas tentang isu penahanan Dr Asri oleh pihak JAIS kerana banyak pihak sudah menyatakan pandangan masing-masing. Apa yang ingin saya perkatakan kini adalah mengenai potensi Dr Asri sebagai ikon baru politik Malaysia.

***************

1970an, nama Anwar Ibrahim mula dikenali ramai setelah beliau bersama rakan-rakannya seperti Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi dan Sidiq Fadhil menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Penubuhan ABIM pada waktu itu telah berjaya menarik golongan muda yang berhasrat mahu merealisasikan tuntutan perjuangan Islam ala Ikhwan di Malaysia.

Dalam waktu yang singkat, ABIM telah dianggotai oleh puluhan ribu orang selain turut berjaya menarik golongan 'ustaz muda’ seperti Haji Abdul Hadi, Abdul Ghani Shamsuddin dan Fadhil Nor. Pada waktu itu, ABIM telah dilihat sebagai wadah terbaik bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia. Ini disebabkan imej PAS pada waktu itu telah pun tercalar akibat penyertaannya ke dalam Barisan Nasional.

Kelantangan Anwar mengutuk beberapa dasar kerajaan BN telah menyebabkan beliau dilabel sebagai pemimpin Islam yang radikal. Tindakannya melancarkan demontrasi besar-besaran pada tahun 1974 telah menyebabkan beliau ditahan di bawah Akta ISA selama 2 tahun. Subki Latif dalam bukunya "Siapa Ganti Asri" pernah mengandaikan Anwar Ibrahim sebagai calon yang paling layak untuk mengambil teraju PAS daripada Datuk Mohd Asri Haji Muda. Menurut Subki, idealisme dan prinsip perjuangan Anwar sama dengan PAS.



Malangnya pada tahun 1982, Anwar mengambil keputusan untuk menyertai UMNO atas pelawaan Mahathir. Biarpun Anwar menjelaskan penyertaannya ke dalam UMNO adalah untuk merubah UMNO dari dalam, namun tindakannya itu telah mengecewakan ramai ahli ABIM dan juga PAS. Bermula dari detik itu, ABIM yang sebelum ini dianggap sebagai anti-kerajaan telah bertukar kepada pertubuhan Islam yang pro-kerajaan. Malah ada juga penganalisis politik yang berpendapat, penyertaan Anwar ke dalam UMNO juga telah menggugat populariti PAS di mata golongan muda.

Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, impian Anwar untuk merawat UMNO dari dalam hanya tinggal dongeng politik. Ketidaksabarannya untuk menjadi Presiden UMNO telah mengakibatkan karier politiknya terbantut. Natijahnya, Anwar terpaksa menjadi banduan kembali dan meringkuk di penjara. Pelbagai tuduhan telah dilemparkan ke atas dirinya. Jika dulu dirinya disanjung oleh UMNO, kini dirinya dihina sehina-hinanya oleh UMNO. Menyedari kredibilitinya telah dipersoalkan oleh sebahagian ahli PAS, akhirnya Anwar menubuhkan PKR untuk menyambung survival politiknya.

Sejak Anwar dipecat dari UMNO, popularitinya kelihatan turun naik seperti pusingan roda. Namun begitu, pasca PRU 2008 menyaksikan nama Anwar kembali meniti dibibir rakyat Malaysia. Misi 916 yang dilancarkannya telah mengancam kestabilan UMNO dan BN sehingga banyak parti-parti komponen BN terpaksa menukar teraju kepimpinan mereka. Bagaimanapun, kredibiliti Anwar kembali tercalar setelah misi 916 beliau gagal direalisasikan. Bermula dari detik kegagalan itu, Anwar bagaikan hilang sengatnya dan terpaksa berulang-alik ke mahkamah untuk menyelesaikan kes liwat terbarunya.

Kini, masa depan politik Anwar belum dapat dipastikan lagi. Jika beliau kalah dalam kes liwat yang sedang dibicarakan kini, Anwar akan menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara. Dengan usianya yang semakin lanjut, berkemungkinan besar Anwar hanya akan dikenang sebagai lagenda politik Malaysia setelah beliau menamatkan tempoh hukumannya nanti. Persoalannya kini, siapakah yang mampu menyambung legasi Anwar Ibrahim?

Berdasarkan kepada pemerhatian di internet, ada yang menyatakan Nizar Jamaluddin mampu menggantikan persona yang dimiliki Anwar Ibrahim. Anggapan itu dibuat setelah mereka melihat populariti Nizar di mata rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Bukan mudah untuk menjadi pemimpin Islam yang popular di kalangan bukan Islam di negara ini. Nizar telah dinilai sebagai salah satu pemimpin yang berjaya melepasi had kelayakan itu.

Namun begitu, ada juga yang menyebut Dr. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis sebagai individu yang paling berpotensi untuk menyambung legasi Anwar Ibrahim. Dalam masa yang singkat, beliau telah berupaya membentuk kelompok penyokongnya sendiri. Lebih menarik lagi, kelompok penyokongnya terdiri daripada pembesar negara yang berbilang parti, NGO yang pelbagai aliran dan mereka yang bukan beragama Islam. Kejayaan beliau ini adalah sesuatu yang amat menarik untuk dinilai.

Pemikirannya yang kritis dengan latarbelakang akademik yang baik adalah salah satu faktor yang menyebabkan pandangan beliau sering mendapat perhatian di dunia massa. Biarpun ada beberapa pandangannya yang dilihat begitu kontroversial, namun ianya tidaklah memudaratkan popularitinya kerana kebanyakan rakyat Malaysia sudah berpendidikan tinggi pada masa ini. Jadi, pandangan sebegitu sudah dianggap lumrah dalam dunia keilmuan.

Secara langsung dan tidak langsung, pandangan yang kontroversial itu telah membuatkan masyarakat bertambah minat untuk mengkaji dan mendalami permasalahan itu sepertimana yang diungkapkan di sini:

“Ust Asri tidak memaksa kami menerima pendapat beliau, tetapi beliau melontarkan pelbagai soalan dengan dalil yang memaksa kami untuk berfikir sendiri jawapannya berdasarkan dalil-dalil yang ada.” [bekas murid Dr Asri di USM]

“I respect Dr Mohd Asri Zainul. People like him don't drive non-believers away. His sensibility gains non-believers' respect and want to know more about the religion.” [Pendapat Maggie di Malaysiakini]


Tidak banyak sejarah latarbelakangnya yang diketahui umum. Mujurlah blogger [Saiful Islam] sudi menceritakan pengalamannya bersama Dr Asri di Jordan. Rupa-rupanya, Dr Asri adalah penyokong PAS dan bersahabat baik dengan mantan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Namun setelah kematian Ust Fadzil, Saiful Islam mengungkapkan ayat di bawah:

Tatkala saya dikejutkan dengan berita kematian al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, antara yang paling awal terlintas di fikiran saya ialah, “siapa lagi yang boleh nasihatkan Ustaz Asri kalau Ustaz Fadzil sudah tiada!”


Keputusan Dr Asri untuk menerima jawatan Mufti daripada Kerajaan Perlis yang diperintah oleh BN mula dirisaukan banyak pihak yang mengenali Dr Asri. Mereka bimbang Dr Asri akan dipergunakan BN untuk melemahkan PAS. Kebimbangan itu makin dirasakan bila Dr Asri mula mengkritik kepimpinan PAS. Kesan daripada tindakan itu, Dr Asri mulanya dilihat sebagai penyokong PAS yang telah berubah kepada non-partisan. Bagaimanapun, tindakannya itu jugalah yang menyebabkan beliau semakin popular di Malaysia.

Berita penahanan Dr Asri yang mendapat liputan meluas adalah bukti kejayaannya membina karektor baru dalam dunia kepimpinan di Malaysia. Dan kini, banyak pihak sudah mula memperkatakan tentang halatuju dakwahnya pula. Ada yang menyatakan Dr Asri akan memasuki dunia politik kerana itulah jalan yang terbaiknya untuknya berdakwah di Malaysia. Malah beliau juga sudah mempunyai sokongan daripada ahli politik yang terkenal seperti Mahathir, Abdullah Badawi, Nik Aziz dan lain-lain lagi. Persoalannya kini, parti manakah yang akan menjadi pilihan Dr Asri?

Tun Mahathir menasihatkan Dr Asri supaya kekal sebagai non-partisan. Mungkin Mahathir mengeluarkan pendapat itu kerana beliau sudah dapat membaca pilihan Dr Asri. Desas-desus Dr Asri akan menyertai PAS sudah dapat dilihat apabila beliau telah menceritakan pertemuannya dengan Ketua Dewan Ulamak PAS dan yang terkini, beliau telah berjumpa dengan TG Nik Aziz di Kelantan.

Tentunya selepas ini, perkembangan Dr Asri akan diikuti rapat oleh para wartawan dan juga peminat politik di Malaysia.

Adakah Dr Asri akan mengulangi sejarah Anwar dan menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangannya?

Hmm.. masih banyak yang perlu difikirkan.


TIPS:
1) Paparan semua blog lebih pantas, menarik dan selamat jika anda menggunakan pelayar FIREFOX!
2) Sertai peraduan mudah ini! Klik di sini untuk keterangan lanjut.
3) Dapatkan terus entri terbaru blog ini ke peti email anda. Klik je sini
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.