Sejak kekalahan di Bagan Pinang, imej PAS dikatakan terus merudum. Hasil kajian yang dibentangkan oleh Prof Hasbullah dalam Seminar Khas PAS semalam membuktikan lagi dakwaan itu. Lebih parah lagi, sudah ada desakan dari pelbagai peringkat supaya barisan kepimpinan tertinggi PAS dirombak, termasuk menukar Presidennya.
Senario yang berlaku kini amat membimbangkan. Yang peliknya, masih ada lagi pihak yang mahu mengatakan kemelut terbaru ini sebagai ‘ribut dalam cawan’ sahaja. Pada saya, itu adalah anggapan seorang pengecut yang tidak mahu berdepan dengan realiti perjuangan. Pada saya, ini bukan ribut dalam cawan. Ini adalah kisah cawan yang sudah mula retak.
Saya cuba memahami sebab-musabab boleh berlakunya pergolakan ini. Ada yang berkata, segalanya bermula daripada isu kerajaan perpaduan. Rundingan secara gelap yang berlaku antara PAS dan UMNO telah menyebabkan beberapa kerat pemimpin PAS berasa curiga sesama sendiri. Kecurigaan ini bertambah buruk bila terdapat pemimpin PAS yang terlalu ‘excited’ untuk menghebohkan rahsia parti kepada pihak umum.
Perkara yang sepatutnya dibincangkan secara dalaman telah menjadi rahsia umum. Sepatutnya, perkara ini tidak perlu diperbesarkan pun kerana PAS telah menolak tawaran UMNO untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di Selangor, Kedah dan juga Perak. Jadi, apa masalahnya lagi?
Masalahnya ialah bila terdapat pemimpin PAS yang mahu menggunakan isu ini sebagai batu loncatan untuknya ke jawatan yang lebih tinggi. Lalu, isu kerajaan perpaduan telah dimainkan dengan lunak sehingga pemikiran ahli biasa PAS menjadi celaru, keliru dan buntu.
Natijahnya, isu ini telah dijadikan modal untuk menarik sokongan perwakilan dalam Pemilihan PAS dulu sehingga mengakibatkan, pihak yang menang telah dilabelkan sebagai Pro-Perpaduan. Dengan label inilah, PAS mula retak.
Sepatutnya, tidak perlu ada gelar-menggelar dalam barisan kepimpinan PAS. Perwakilan sudah membuat keputusan mereka dan keputusan itu sepatutnya dihormati. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu – itu hanyalah suara minoriti dan bukannya suara majoriti.
Pihak yang kalah sepatutnya membantu pihak yang menang dan bukannya menghentam pihak yang menang. Bila sampai waktu pemilihan akan datang, tukar sahajalah apa yang patut ditukar!
Barangkali, kerana mengejar kuasa dan nama, ada pihak yang sudah mula alpa pada asas perjuangan PAS. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kerana sejarah telah menceritakan bagaimana umat Islam terdahulu berpecah kerana perebutan kuasa. Apa yang penting pada waktu ini adalah setiap pemimpin PAS perlu bermuhasabah mengenai kesilapan yang telah mereka lakukan – samada sengaja atau tidak disengajakan. Tidak ada pun pemimpin PAS yang maksum (bebas dari dosa).
Persoalannya kini, sampai bila ahli PAS mahu berantakan kerana isu yang remeh ini? Adakah dengan menukar Presiden, segalanya akan selesai? Adakah dengan memecat Nasharudin, Mustafa dan Hassan akan mengembalikan kekuatan PAS? Adakah dengan melantik Azizan sebagai Presiden, Husam sebagai Timbalan Presiden akan membawa sinar baru kepada PAS?
Persoalan ini boleh dijawab dengan banyak hujah dan dalil politik. Namun itu tidak akan membawa apa-apa makna jika ianya boleh membawa perpecahan kepada PAS.
Sepatutnya, isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi dan anggaplah segala yang telah berlaku itu sebagai kemelut di pangkal jalan atau PAS baru nak masuk gear 2.
Pandanglah ke hadapan dan nilaikanlah kelemahan yang terdapat dalam Pakatan Rakyat yang kini diterajui oleh PKR. Isu kerajaan perpaduan itu adalah sangat kecil jika mahu dibandingkan dengan cabaran yang akan dihadapi oleh PAS jika mahu terus berpadu tenaga dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.
Banyak lagi persoalan lain yang lebih penting seperti:
1) Patutkah PAS menyokong idea dwi-parti di negara ini?
2) Jika ya, siapakah yang lebih layak menerajui Pakatan Rakyat?
3) Bagaimanakah pembahagian kerusi dalam PRU ke 13 nanti?
4) Apa pendirian bertulis PKR dan DAP mengenai hasrat PAS mahu menjadikan negara ini sebagai negara Islam tulen?
5) Apakah senarai strategi PAS untuk menjayakan misi “PAS for All”?
Persoalan di atas hanyalah sekelumit daripada cabaran besar yang perlu dihadapi oleh PAS. Tugas dan tanggungjawab ini mesti dipikul oleh seluruh kepimpinan PAS dan juga didukung oleh para penyokongnya.
Jurublog PAS yang sebelum ini begitu bangga dapat memaparkan kisah ‘membuka pekung’ dalam blog mereka juga perlu sedar tentang kesilapan yang telah mereka lakukan. Bahasa yang digunakan perlu diubah. Kata-kata kesat dan cacian perlu dihindarkan. Quran dan Hadis mesti dijadikan sandaran untuk membina hujah. Bukan jumlah hits yang perlu dikejarkan, tetapi maklumat yang boleh membuka kesedaran umum yang patut diutamakan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Al-Hujuraat : 12]
Salam,
ReplyDeleteUlasan yg menarik.