SEMINAR PAS GAGAL?


Oleh Noor Hayati Muda, Bernama.

Mengikuti perjalanan seminar politik sehari PAS yang diadakan Sabtu membawa satu persepsi bahawa impian untuk parti itu bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin PAS.

Ini kerana apa yang kedengaran berkumandang di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar di sini, ialah suara-suara yang mempertikaikan 'tahaluf' (kerjasama politik) antara parti itu, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ada perwakilan yang mahu pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu dan tidak kurang pula ada yang berkata sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.

Namun, rata-rata perwakilan yang hadir dilihat dapat menerima pandangan agar PAS sekadar menjadi anggota bersekutu.

Situasi itu dapat dilihat ketika pembentangan kajian mikro kepercayaan politik Malaysia oleh ahli akademik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah yang merumuskan responden dari kalangan muda mahu PAS menjadi anggota bersekutu sahaja.

Kenyataan itu disambut dengan laungan takbir yang kuat daripada perwakilan.

Ucaptama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hanya menyatakan parti itu mahu mengukuhkan kerjasama dan pada masa yang sama membayangkan PAS sebagai sebuah parti yang mampu berdiri sendiri.

PAS menurut Abdul Hadi paling berpengalaman dan bukan saja mampu menjadi pembangkang secara bersendirian tapi juga mentadbir negeri bersendirian.

Pandangan sedemikian boleh ditafsir sebagai mesej tersirat kepada rakan dalam pakatan bahawa PAS sebenarnya tidak memerlukan DAP dan PKR untuk menang pilihan raya.

Namun ucapan Abdul Hadi itu tidak seiring dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini, pernah menyatakan parti itu tidak mempunyai halangan untuk menyertai pakatan sebagai satu gabungan rasmi.

Seminar pada hari Sabtu yang sepatutnya menjadi medan untuk PAS memperkasakan parti bertukar menjadi platform bagi sebahagian perwakilan membidas pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari yang turut hadir atas undangan parti.

Mereka jelas tidak berpuas hati dengan kritikan yang dibuat Abdul Aziz menerusi sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu bulan lepas, yang antara lain menyentuh kegagalan pucuk pimpinan parti menyelesaikan beberapa isu khususnya berkaitan PAS Selangor.

Ironinya, undangan kepada Abdul Aziz adalah atas dasar pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu dapat berkongsi pandangan beliau dalam usaha pucuk pimpinan memperkasakan parti.

Tindakan sesetengah perwakilan itu mendorong seorang lagi pemerhati politik yang diundang Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah menegaskan bahawa mereka sekadar memberi pandangan dan tidak sewajarnya dibidas.

"Kenapa marah kepada pembentang? Ini primitif. Yang nak dibincangkan hari ini kecerdikan politik, sekarang bukan kurun ke-17. Kenapa kita anggap penulisan yang melukakan kita sebagai fitnah bukan informasi?" katanya.

Penulisan Abdul Aziz itu sebenarnya berkisar tindakan pucuk pimpinan tertinggi parti yang seolah-olah merestui PAS Selangor sekali pun sering mengambil pendirian bertentangan dengan rakan mereka dalam kerajaan pakatan di negeri itu.

Apabila diteliti perbahasan oleh perwakilan yang terdiri daripada pemimpin akar umbi, tidak keterlaluan jika dirumuskan masih ramai di antara mereka yang tidak jelas dengan kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang dan sehingga kini juga Abdul Hadi dan pemimpin tertinggi parti itu belum memberikan kepastian menerusi isu tersebut.

Malah, seminar hari ini juga tidak menghasilkan resolusi yang dapat memberi jawapan kepada isu itu sekalipun menegaskan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Barangkali seperti pandangan beberapa pemerhati politik sebelum ini, PAS sebenarnya terikat dengan asas penubuhan parti iaitu menegakkan perjuangan Islam yang sudah pasti tidak diterima oleh DAP dan PKR.

Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.