HURU HARA DULU, PILIHANRAYA KEMUDIAN?


DUN Perak akan dibubarkan dalam masa terdekat?

Itulah yang giat diperkatakan sekarang. Kononnya, jentera BN Perak sudah pun diarahkan bersedia untuk menunggu arahan seterusnya daripada Najib. Malah foto kempen juga sudah diambil dan tinjauan pendapat rakyat Negeri Perak sudah dijalankan. SPR pula sudah mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ke-3/2009 (Perak) untuk semakan dan bantahan. Rang tersebut akan dipamerkan mulai 20 hingga 26 Oktober 2009.

Mengikut perkiraan sesetengah pihak, BN dijangkakan akan menang dengan majoriti mudah jika pilihanraya kecil diadakan pada waktu terdekat ini. Bagaimanapun, pembubaran DUN Perak hanya akan dibuat selepas Sidang DUN Perak yang akan bermula pada 28 Oktober ini kerana BN dikatakan mahu keadaan huru-hara tercetus sekali lagi dalam sidang DUN itu nanti.

Kenapa huru-hura akan berlaku sekali lagi?

Mengikut perkembangan terkini, 28 ADUN Pakatan Rakyat yang pada mulanya tidak mahu hadir, telah pun mengesahkan kehadiran mereka. ADUN Pakatan Rakyat pula tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker yang sah kerana perlantikannya pada 7 Mei 2009 tidak selaras dengan Perkara 36A(5), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Mengikut Perkara 36A(5), seseorang yang memegang jawatan awam iaitu speaker mestilah melucutkan atau memberhentikan dirinya daripada menjawat atau mendaftar dengan mana-mana jabatan dan pertubuhan yang boleh memberikan keuntungan kepada dirinya.

Menurut dakwaan PR di Perak, dalam tempoh 3 bulan Ganesan mendakwa dirinya sebagai speaker, beliau masih lagi berdaftar dengan Majlis Peguam sebagai pengamal undang-undang yang aktif. Perkara ini telah disahkan oleh Majlis Peguam sendiri yang memberitahu, Ganesan hanya mengangkat sumpah meletak jawatan pada 17 Ogos lalu.

Jika perlantikan Ganesan tidak sah, maka Sivakumar masih lagi Speaker DUN Perak yang sah sehingga usul tidak percaya dijalankan ke atasnya. Keadaan ini tentunya akan menimbulkan huru-hara kerana wakil rakyat PR sudah pasti akan berjuang mati-matian untuk mempertahankan kedudukan Sivakumar. Dan BN pula, tentunya akan mencuba habis-habisan mempertahankan kedudukan Ganesan.

Maka tidak mustahil kekacauan dalam Sidang DUN Perak akan berulang sekali lagi. Jika keadaan ini berlaku, tentunya BN akan menggunakan rakaman video “aksi terlampau YB Pakatan Rakyat” dalam persidangan itu nanti sebagai modal kempen mereka. Jika taktik ini menjadi pilihan BN, sebilangan pengundi yang “tak tahu apa” tentunya akan termakan dengan kempen sebegitu.

Peluang Pakatan Rakyat Agak Tipis?

Tidak dapat dinafikan lagi, krisis di Perak semakin ‘sejuk’ dihati rakyat Perak mahupun Malaysia. Mahu atau tidak mahu, jentera Pakatan Rakyat di Perak amat memerlukan satu peledak ajaib untuk membangkitkan kembali sokongan pengundi kepada mereka. Jika tidak, peluang untuk mereka menang akan tipis.

Pakatan Rakyat kini tidak lagi boleh bergantung harap pada kuasa media baru seperti internet dan blog untuk mengetengahkan perjuangan mereka. Ini adalah kerana, BN juga sudah mempunyai jentera mayanya sendiri yang sudah mula mendapat tempat di alam maya. Keadaan ini dapat disaksikan dalam PRK Bagan Pinang di mana jentera maya BN berjaya memberikan saingan dan liputan yang meluas kepada calon dan kempen mereka.

Selain itu, penubuhan parti Makkal Sakti pula dilihat sebagai satu kelebihan buat BN untuk mendapatkan kembali sokongan kaum India. Penubuhan parti ini dijangkakan mampu menarik sokongan pengundi India yang telah lari dari parti MIC. Tidak seperti PRU 2008, kali ini Pakatan Rakyat terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi India.

Jika kekuatan Pakatan Rakyat hanya bergantung pada undi kaum Cina, maka tidak mustahil BN akan berjaya di Perak dengan sokongan pengundi Melayu dan India. BN pastinya akan memainkan isu derhaka serta isu kuil dan arak di Selangor untuk menarik sokongan pengundi Melayu. Jika tempoh berkempen hanya ditetapkan seminggu, maka Pakatan Rakyat akan bertarung dengan waktu untuk membalas kempen BN.

Apapun, masih terlalu awal untuk menilai peluang BN mahupun PR di Perak jika DUN Perak jadi dibubarkan. Biarkanlah dahulu khabar angin itu bertiup kencang kerana sekurang-kurangnya, orang ramai akan terus mengingati krisis di Perak.

Selingan : Video Krisis Perak












Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.