IKIM cadang Hari Buku Negara setiap tahun


Petikan dari MSTAR

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mencadangkan agar kerajaan mewujudkan "Hari Buku Negara" yang disambut setiap tahun bagi meningkatkan amalan membaca di kalangan rakyat di samping memartabatkan buku.

Pengerusi IKIM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata menurut satu kajian kuantitatif oleh Perpustakaan Negara dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2005 mendapati secara purata 98.8 peratus rakyat negara ini membaca hanya dua buah buku setahun.

"Dalam kajian itu, lebih separuh daripada rakyat negara ini membaca kurang daripada tujuh muka surat setiap hari dan majoriti terbesar membaca buku dan majalah kurang dari tiga jam," katanya ketika berucap merasmikan seminar Buku Agung dan Karya Perdana Dalam Tamadun Islam dan Peradaban Melayu di bangunan IKIM di sini, hari ini.

Ahmad Sarji berkata kajian itu mendapati semakin meningkat umur seseorang, semakin kurang mereka membaca iaitu 10 hingga 24 tahun (55 peratus) dan 25 hingga 56 tahun (39 peratus).

Beliau berkata rakyat negara ini menghabiskan satu pertiga daripada masa lapang mereka menonton televisyen dan dipercayai kecenderungan orang Melayu membaca bahan-bahan berbahasa Melayu semakin menurun sehingga menjejaskan usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

"Berdasarkan laporan AC Nielsen dalam tempoh setahun berakhir Julai tahun lepas, kira-kira 44 peratus orang Melayu yang berusia 15 tahun ke atas membaca akhbar bahasa Malaysia berbanding orang Cina (64 peratus) membaca akhbar berbahasa ibunda mereka," katanya.

Beliau berkata galakan harus dibuat terhadap mempromosikan buku dalam bentuk teknologi terkini iaitu 'e-book' atau buku elektronik bagi menarik minat generasi muda membaca seperti Amazon Kindle dan Sony Reader.

Ahmad Sarji berkata Hari Buku disambut setiap tahun di Catalonia, Sepanyol dengan penjual buku menganjurkan majlis pembacaan buku oleh pengarang terkenal dan mendirikan beribu-ribu gerai buku.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan satu Perpustakaan Ilmiah di Putrajaya seperti Library of Congress di Washington yang boleh menjadi pusat sumber bertaraf antarabangsa dan boleh menjadi tempat rujukan pemimpin negara khususnya.

Ikim menganjurkan seminar dua hari yang akan berakhir esok bertujuan mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal dengan mengingati isi-isi penting sesebuah buku serta memahami persoalan dasar yang dibicarakan terutama berkenaan tradisi Islam dan budaya Melayu, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata karya-karya dalam Bahasa Malaysia semakin kurang dihasilkan dan yang sedia ada banyak mengandungi kesalahan bahasa.

"Kegunaan bahasa sekarang sudah diubah walaupun sepatutnya Bahasa Malaysia merangkumi semuanya (bidang), isi kandungan mengunakan bahasa kebangsaan itu tidak betul yang tidak merujuk kepada akal fikiran," katanya kepada pemberita.

Syed Ali berkata penggunaan bahasa dalam karya-karya kini semakin membimbangkan dan sangat teruk.

Beliau berkata orang Melayu seharusnya tidak hanya membaca karya-karya imaginasi seperti Harry Potter, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan buku-buku bersifat ilmiah supaya bidang sains dan teknologi tidak terabai. BERNAMA
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. hah..lagi cantik kalau buat diskaun mega sale skali..baru le gua dpt brshopping buku byk2..

    ReplyDelete

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.