HARAKAHDAILY KECEWA DENGAN MALAYSIAKINI?

Laporan portal Harakah Daily melahirkan kekecewaan dengan tulisan terbitan Malaysiakini, didakwa cuba lagakan pemimpin PAS.

Memetik Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, portal itu mahu Malaysiakini memperbetulkan atau menarik balik laporannya berhubung isu dana masjid yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng kerana didakwa cuba memperlagakan kepimpinan PAS.

Laporan itu kekal dalam portal itu.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen berpendapat laporan Malaysiakini kelmarin berhubung perkara itu sengaja cuba membentuk persepsi berlaku pertembungan pandangan antara pimpinan PAS.

Dengan mengunakan tajuk “PAS tidak sepakat isu dana bina masjid”, Malaysiakini cuba membentuk pemikiran pembaca supaya melihat seolah-olah Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa berbeza pandangan dengan Bendahari PAS Dr. Hatta Ramli, kata Herman.

Herman berhujah, kenyataan Nasharudin dan Hatta jelas membawa maksud yang serupa iaitu kedua-duanya tidak menghalang Nga mengemukakan pandangan berhubung isu itu.

“Tindakan Malaysiakini juga dilihat sama seperti Utusan Malaysia yang menggunakan tajuk kontroversi dalam isu ini bagi menimbulkan kemarahan pembaca.

“Utusan Malaysia mengunakan tajuk ‘Kor Ming persoal kerajaan bina banyak masjid’ dan secara spontan rakyat yang membaca tajuk itu boleh memberikan respon yang negatif,” kata Herman.

Bertolak daripada kenyataan Herman itu, malah pada hari yang sama kelmarin Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata PAS menyokong kenyataan Nga sambil menyifatkan ia membuktikan kegagalan kerajaan pusat dalam pengagihan dana dan bantuan secara berkesan kepada pelbagai agama di negara ini.

Sehari sebelum pandangan-pandangan ini dikeluarkan Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat Kamaruzaman Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Nga untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendirian beliau.

Nga menegaskan kenyataannya berhubung isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam telah diputar belit dan dijadikan bahan menghasut sentimen perkauman oleh sesetengah media.

PAS merupakan antara tiga komponen Pakatan Rakyat yang dibentuk pada April 2008, beberapa minggu selepas hasil pilihan raya umum ke-12.

Sejak itu, ini bukan kali pertama PAS berhadapan dengan situasi tertekan apabila ada pihak khususnya Umno-BN mempersoalkan keupayaan PAS dalam menghadapi ‘tekanan’ DAP dan PKR. PAS seringkali tunduk kepada DAP. Ini dikaitkan dengan perkembangan keputusan politik di Selangor dan Kedah. Di pihak Pakatan Rakyat PAS dipersoalkan tentang pendirian mereka berhubung kenyataan Nga DAP.

Tulisan laman web Umno Online tiga hari lalu menyebut “PAS dilihat semakin tidak terdaya untuk bertegas mempertahankan idea asal penubuhan mereka apabila disergah bertalu-talu oleh DAP.”

“Entah di mana silapnya sehingga taring PAS semakin tumpul diasah DAP dan sanggup tunduk kepada idealogi mereka biarpun amat bertentangan...,” kata tulisan tersebut.

Pemimpin-pemimpin Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan tindakan Nga ini. Hujah mereka mendakwa PAS tidak berani untuk berhadapan dengan isu semasa.

[Sumber asal : Malaysian Insider]


Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.