INIKAH YANG DIKATAKAN PEMBAHARUAN?


Berikut adalah tulisan Sdra. Azli Shukri yang patut difikirkan:

Saya menyambut baik perubahan yang akan dilaksanakan dalam perlembagaan UMNO kelak - namun begitu, hanya satu sahaja pertanyaan saya iaitu : Apakah semua ahli UMNO boleh bertanding tanpa perlu ada kouta dan syarat-syarat tersembunyi yang tidak kelihatan?

Saya difahamkan, di dalam pindaan perlembagaan UMNO yang akan dilakukan kelak terdapat syarat tertentu untuk melayakkan seseorang ahli itu bertanding bagi merebut jawatan tertinggi di dalam parti, umpamanya kelayakan seseorang yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, haruslah sekurang-kurangnya sudah menjadi EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selama dua penggal berturut-turut dan selepas itu, barulah seseorang itu layak dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam hal ini, saya merasakan bahawa ia masih belum memenuhi aspirasi sebenar ahli UMNO akar umbi. Sebaliknya, UMNO masih mengamalkan konsep hanya segelintir yang "sedang berkuasa" sahaja, yang berkelayakan untuk bertanding.

Cubalah tuan-tuan fikirkan syarat yang tersenarai di bawah ini - adakah ia adil dan kelihatan adil? disamping memenuhi kehendak dan aspirasi ahli-ahli UMNO akar umbi yang sebenarnya? Wallahualam.

1. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya telah menjadi Timbalan Presiden selama dua penggal berturut-turut.

2. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya sudah menjadi Naib Presiden untuk dua penggal berturut-turut.

3. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Naib Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya sudah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 2 penggal berturut-turut.

4. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO/Ketua Wanita/Ketua Puteri : Sekurang-kurangnya sudah menjadi EXCO Pergerakan tersebut selama dua penggal berturut-turut.

5. Semua syarat ini turut akan dilaksanakan di semua peringkat kepimpinan UMNO, sama ada di peringkat Bahagian mahupun Cawangan. Kekecewaan saya hanya satu. Akhirnya ahli-ahli UMNO biasa yang digelar sebagai akar umbi seperti saya ini, tetap juga tidak mempunyai kuasa untuk memilih dan mencalonkan sesiapa yang kami fikirkan baik untuk parti.

Malah, adalah sangat jelas bahawa syarat-syarat tersebut hanya menjadi kekangan serta duri dalam daging bagi mana-mana individu yang berpotensi dan amanah dalam perjuangan, untuk pergi lebih jauh di dalam parti.

Semua syarat di atas pada realitinya hanya akan menyebabkan ahli akar umbi UMNO sudah tiada lagi pilihan calon yang banyak dan berkaliber untuk diketengahkah - akibat daripada syarat yang telah dikenakan itu.

Walaupun perlembagaan UMNO akan dipinda dengan mengizinkan lebih daripada 140 ribu ahli boleh mengundi - tetapi apakah maknanya semua itu, jika pilihan yang kami ada untuk mengundi calon yang layak adalah terhad?

Saya mengambil satu contoh, jika ada seseorang ahli Pemuda UMNO yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, individu tersebut tidak akan boleh bertanding sehinggalah dia menjadi EXCO Pemuda UMNO Malaysia selama dua penggal berturut-turut - akhirnya Pemuda UMNO akar umbi tetap tiada pilihan, melainkan hanya terus menyokong Ketua Pemuda UMNO yang sedia ada.

Malah, sehingga kini, saya merasakan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang berkelayakan untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia - lantaran tidak memenuhi syarat yang diperlukan seperti di atas.

Pada saya adalah tidak adil jika pucuk pimpinan tertinggi UMNO kelak hanya akan dipilih dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO semata-mata.

Bahkan adalah sesuatu yang karut juga, andaikata calon jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia hanya boleh dipilih dalam kalangan ahli EXCO Pergerakan Pemuda itu sahaja. Ini bukanlah demokrasi namanya, sebaliknya ia hanyalah sebuah ilusi.

Memanglah ahli UMNO akar umbi diberi kuasa untuk membuang undi, namun demikian, pilihan yang kami ada sebenarnya adalah terhad. Saya mengharap UMNO dapat menilai semua ini. Wallahualam.



Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.