Tok Guru yang aku hormati



PENGGAMBARAN dokumentari Tok Guru bermula pada 15 Oktober 2001. Penggambaran dibahagikan kepada dua peringkat.

Peringkat pertama selama 10 hari dan seterusnya peringkat kedua melibatkan kegiatan Tok Guru dalam bulan puasa. Pada tahun 2001, Ramadan bermula dari 17 November. Penggambaran peringkat pertama berakhir pada 25 Oktober 2001.
Sepanjang November aku melakukan penyuntingan dokumentari ini sementara menunggu untuk sekali lagi ke Kota Bharu untuk penggambaran peringkat kedua bermula dari 26 November 2001.  
Untuk penggambaran dokumentari Tok Guru ini aku telah menyelongkar semula majalah-majalah Tamadun terbitan 2001 dan 2002 yang terdapat tulisan Dinsman mengenai penggambaran dan pembikinan dokumentari ini.

Aku juga bernasib baik masih menyimpan akhbar-akhbar tabloid mingguan, Cabaran edisi November 2001 mengandungi artikel-artikel tulisan Dinsman mengenai penggambaran dokumentari Tok Guru ini.

Selain daripada rujukan ini aku juga ada menulis dan mencatat pengalaman mengarah dokumentari tersebut dalam diari peribadi aku. Alhamdulillah, bahan-bahan ini amat berharga dan banyak membantu aku menulis dan mencatat semula pengalaman aku mengarah filem dokumentari yang menjadi kenangan indah aku.

Setelah membaca bahan-bahan yang berusia hampir lima belas tahun itu aku makin sedar, dokumentari Tok Guru arahan aku itu sebenarnya memaparkan kehidupan Tok Guru tanpa apa-apa penambahan iaitu lakonan mahupun pengurangan – semuanya real dan bukan dibuat-buat.

Ketika mengarah dokumentari ini lima belas tahun lalu aku tidak pernah terfikir kenapa aku dan Dinsman mengambil pendekatan shooting secara cinema verite. Apa itu cinema verite telah aku terangkan minggu lalu.

Tujuan utama kami tidak mahu mengganggu rutin kerja dan hidup seharian Tok Guru. Alhamdulillah, tanpa aku sedari ternyata aku berhasil memenuhi syarat-syarat yang dituntut oleh kaedah mengarah filem berdasarkan konsep cinema verite.

Menariknya apabila aku baca semula catatan dan tulisan-tulisan Dinsman mengenai penggambaran dokumentari ini baharu aku sedar kami telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan proses penggambaran filem ketika merakam shot-shot melibatkan
Tok Guru.

Dalam bahasa mudah aku dan Dinsman lebih cenderung mengambil jalan lebih sukar dan susah daripada jalan mudah yang boleh diaplikasikan untuk mendapatkan shot-shot dan babak-babak yang kami perlukan. Kenapa?

Bayangkan untuk shot Tok Guru keluar daripada rumahnya untuk menunaikan dan mengimamkan solat Subuh di masjid yang terletak di depan kediamannya itu kami mengambil masa sehingga dua hari. Shotnya mudah sahaja iaitu Tok Guru membuka pintu depan rumahnya.

Kemudian Tok Guru turun tiga anak tangga dan terus bergerak  melangkah kurang daripada dua puluh tapak untuk masuk ke pintu masjidnya dari bahagian belakang dan terus ke hadapan saf pertama untuk mengimamkan solat Subuh. Tidak memerlukan peralatan canggih dan pergerakan kamera yang rumit dan sukar untuk merakamkan shot ini.

Kami batalkan penggambaran pada kali pertama ini kerana kami belum sempat memberitahu Tok Guru terlebih dahulu tentang tujuan kami itu. Sedangkan kami boleh sahaja memberitahu Tok Guru tentang hajat kami itu ketika dia keluar tadi. Bukan masalah besar dan kami yakin Tok Guru tidak menghalang.

Pastinya kami boleh meminta jasa baik Tok Guru untuk mengulang semula pergerakan membuka pintu dan keluar dari rumahnya itu. Tetapi atas sebab tidak mahu mengganggu rutin subuh dan mood harian Tok Guru kami tukar penggambaran kepada keesokan paginya.

Gangguan yang kami maksudkan ialah seperti ditulis oleh Dinsman – kerana saya belum memaklumkan kepada dia yang kami akan membuat rakaman itu, dan saya bimbang dia terkejut melihat lampu terang sebaik saja dia membuka pintu, yang mungkin mengakibatkan suasana damai dan syahdunya di awal subuh itu sedikit terganggu. Bukan bimbang dia tidak setuju kami shoot dia keluar rumah awal-awal subuh itu tanpa bersedia untuk dishoot.

Ketika itu yang bermain di minda kami ialah rasa hormat kepada seorang ulama sehingga kami rasa tidak patut kami mengganggu rutin harian yang selama ini telah sebati dengan kehidupannya.

Sekali lagi pengalaman sama berulang ketika kami mengikuti Tok Guru untuk merakam beliau merasmikan pelancaran Bulan Membaca dan Draf Pembangunan Daerah Jeli di perpustakaan di Bandar Jeli pada 22 Oktober 2001.

Menurut programnya, dari Jeli selepas Asar Tok Guru akan ke pekan Dabong dengan menyeberangi sungai Dabong untuk majlis perasmian tadika Pasti dan program ceramah pada malamnya. Dinsman dan aku ingin merakamkan visual Tok Guru melintasi Sungai Dabong
dengan menaiki bot dan ketibaannya di pengkalan perahu di Dabong.

Disebabkan masalah logistik dan pengangkutan, aku dan kru penggambaran kami tidak mahu membebankan dan menimbulkan masalah kepada kelancaran pergerakan rombongan Tok Guru untuk menyeberangi Sungai Dabong.

Kami menyusun pergerakan ke Dabong melalui jalan ke Gua Musang dari Jeli. Kami ada masa agak panjang untuk mendahului Tok Guru untuk sampai di Dabong.

Sebaik kami sampai di pengkalan perahu di Dabong, kelihatan Tok Guru sudah mendarat dan menaiki Pajero untuk ke rumah rehat – berehat sementara menunggu program malam nanti. Aduh, terduduk dan buntu fikiran aku. Kami terlewat hanya beberapa minit sahaja. Aku hanya mampu pandang Dinsman, Dinsman pandang aku.

Kami berbincang untuk meminta Tok Guru mengulang aksi beliau menaiki bot dan ketibaannya di pengkalan untuk kami rakamkan semula. Ini bererti Tok Guru perlu berlakon atau melakonkan semula aksi ketibaannya dengan bot tadi. Jika kami lakukan ini bererti konsep cinema verite dan kesepakatan kami untuk tidak mengganggu rutin Tok Guru telah kami langgar.

Dinsman terasa amat berat untuk meminta Tok Guru mengulang dan melakonkan sekuen demikian. Aku juga berkongsi perasaan yang sama walaupun ketika itu Tok Guru ada masa untuk kami kerana acara seterusnya hanya pada sebelah malam.

Menurut catatan Dinsman dalam majalah Tamadun, edisi Februari 2002 – Selama ini Tok Guru begitu sekali memberikan kerjasama dan ‘understanding’ kepada kami. Tidak pernah walau sekali pun dia menegur kerja-kerja dan cara kami menjalankan kerja.

Tidak pernah sekali pun dia mengganggu kerja kami. Dia tahu kami membuat penggambaran dan dia melangsungkan pergerakannya seolah-olah kami tidak ada di situ, atau  seolah-olah dia tidak tahu kami sedang merakamkan pergerakannya. Ini sungguh fantastik.

Akhirnya, kami setuju tidak mahu mengganggu waktu rehat Tok Guru pada petang itu. Kami buat keputusan untuk merakam visual Tok Guru pulang menyeberangi sungai Dabong pada malamnya nanti selepas beliau selesai majlis ceramahnya.
Share on Google Plus

About Orang Melaka

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.