Laporan akhbar berhubung pembiayaan pendidikan Datuk Seri Najib Razak oleh datuknya, pengasas bersama pusat peranginan Genting, didakwa tidak menguntungkan perdana menteri.
Berita di Utusan Malaysia dan Berita Harian semalam dipertikaikan oleh tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin, dengan menyifatkan pendedahan itu boleh mencemar imej perdana menteri.
Laporan itu dipercayai sebahagian cubaan pihak kerajaan membetulkan tanggapan tentang kekayaan Najib yang menjadi fokus sejak ia dilaporkan oleh The New York Times awal bulan lalu.
"Adakah perlu Najib dan media massa arus perdana yang menyokong beliau membangkitkan hal (datuknya) Tan Sri Mohamed Noah Omar membiayai pendidikan cucu-cucunya kerana tidak dapat tidak orang yang mengetahui latar belakang Mohamed Noah akan mengaitkan beliau dengan lesen kasino?" kata Kadir dalam blognya hari ini.
"Di manakah dan apakah peranan penasihat media, komunikasi, perang saraf dan pereka imej Najib yang begitu ramai dan tergolong di dalamnya seorang penasihat orang putih?"
Akhbar milik Umno itu melaporkan semua anak Tun Razak Hussein dibiayai oleh Mohamed Noah dan perdana menteri kedua tidak pernah menggunakan dana awam.
Namun Utusan Malaysia menyebut datuk Najib "menjual kepentingannya" dalam syarikat milik mendiang Tan Sri Lim Goh Tong itu "selepas Genting mula beralih kepada aktiviti perjudian."
Laporan ini sebahagian kenyataan Najib yang menegaskan bapanya seorang yang amanah dan berprinsip.
Selain bersifat sederhana, bapanya juga tidak pernah dikaitkan dengan rasuah, tegas perdana menteri lagi.
Bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) itu menambah:
"Apakah semua (kenyataan) ini ciri-ciri sokong membawa rebah dan harapkan pagar, pagar makan padi atau, lebih teruk daripada itu ia berupa petanda bahawa perdana menteri sedang kehilangan jalan cerita?"
Kadir juga berkata isu pendidikan Najib dan adik-adiknya tidak berbangkit kerana bukan isunya.
Persoalan orang ramai berhubung gaya hidup keluarga Najib - termasuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor - yang didakwa mewah, tambah Kadir.
"Tidak ada siapa pun yang bertanya atau mempersoalkan pembiayaan pendidikan Najib. Yang menjadi isu dan pertikaian ialah dakwaan mengenai gaya hidup mewah yang dipamerkan oleh Najib, isterinya dan anak tirinya Riza Abdul Aziz," katanya.
Tambahnya, turut dipersoalkan hubungan mereka bertiga dengan hartawan Jho Taek Low dan kaitan ahli perniagaan itu dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dilaporkan New York Times pada 8 Februari lalu.
0 comments:
Post a Comment
PERINGATAN: Portal Melaka News tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.